KUALA LUMPUR - Pendidikan manusiawi perlu melihat murid sebagai insan secara menyeluruh dan bukan sekadar mengejar pencapaian akademik, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, setiap murid mempunyai potensi, bakat, emosi dan cita-cita tersendiri yang perlu dibangunkan menerusi sistem pendidikan.
Fadhlina berkata, konsep itu bermaksud kerajaan perlu mengambil kira perkara asas yang mempengaruhi kehidupan dan pembelajaran murid, termasuk keadaan sekolah, pemakanan serta kesihatan mental.
"Kalau kita benar-benar melihat anak-anak kita sebagai manusia, kita harus peduli tentang tempat mereka belajar.
"Sebab itu kita mengambil inisiatif besar khususnya membaiki sekolah daif dan tandas sekolah. Bagi saya, ini soal maruah.
"Begitu juga dengan keadaan anak-anak datang sekolah, ada yang lapar. Sebab itu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sangat penting," katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 bertajuk Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Malaya di sini pada Rabu.
Fadhlina berkata, pendidikan manusiawi turut menuntut perhatian terhadap aspek yang tidak dapat dilihat secara fizikal, khususnya kesihatan mental murid.
Menurutnya, intervensi kesihatan mental murid terus diperkukuh dengan kerjasama pakar daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
"Kita perlu mengubah soalan daripada sekadar bertanya ‘adakah kamu okey?’ kepada soalan yang lebih terus kepada perasaan dan keadaan emosi mereka," katanya lagi.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, peluasan akses prasekolah secara percuma juga mencerminkan pendekatan pendidikan manusiawi kerana manfaatnya bukan hanya kepada murid, malah turut mengurangkan beban keluarga.
Mengulas pembentukan karakter, Fadhlina berkata, sistem pendidikan bukan sahaja perlu membina kecerdasan murid, malah membentuk watak mereka.
"Kita bukan sekadar mahu membina otak tetapi juga membentuk watak," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, laluan pendidikan perlu lebih terbuka bagi membolehkan murid mengembangkan bakat.
Katanya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak lagi wajar dilihat sebagai pilihan kedua.
"Pendekatan pendidikan manusiawi tidak memaksa semua anak menjadi manusia yang sama, tetapi membantu setiap anak mengembangkan bakat dan kekuatan mereka.
"Sebab itu TVET bukan lagi pilihan kedua tetapi adalah arus perdana," katanya.