Sambutan Hari Kemenangan Perang Naning Ke-195 imbau perjuangan pahlawan Dol Said

Iklan
Mohd Nazrol (empat dari kiri) menyempurnakan majlis sambutan Hari Kemenangan Perang Naning Ke-195 Isnin lalu.

ALOR GAJAH - Sambutan Hari Kemenangan Perang Naning Ke-195 menjadi wadah penting memperingati perjuangan dan keberanian pahlawan tempatan, Datuk Dol Said bersama pejuang tanah air mempertahankan maruah serta kedaulatan Naning daripada campur tangan British pada 1831.

Datuk Undang Wilayah Naning Melaka Ke-20, Datuk Mohd Nazrol Ibni Datuk Paduka Seri Mahammad Supar berkata, perjuangan Dol Said bukan sekadar sejarah untuk dikenang, sebaliknya amanah yang perlu dihayati dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kehebatan perjuangan tersebut berpaksikan kesatuan hati dan semangat muafakat dalam mempertahankan maruah bangsa serta institusi.

"Justeru seluruh warga Naning diseru agar menjadikan sejarah sebagai sumber kekuatan untuk menyatukan masyarakat.

Iklan

“Pada masa sama, terus memelihara keluhuran Adat Perpatih Naning berteraskan prinsip Adat Bersendikan Syarak, Syarak Bersendikan Kitabullah," katanya merasmikan majlis berkenaan Isnin lalu.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap jawatan dalam Institusi Adat bukan satu keistimewaan sebaliknya merupakan tanggungjawab dan amanah besar kepada masyarakat.

Iklan

“Semua pihak perlu melaksanakan amanah tersebut dengan jujur, ikhlas, adil dan bertanggungjawab.

“Sebarang perbezaan pandangan juga hendaklah diselesaikan melalui hikmah, musyawarah dan saluran adat yang sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nazrol berkata, pihaknya komited untuk terus bersama warga adat dan 25 Mukim dalam usaha memelihara, memperkukuh serta mempertahankan keabsahan dan kewibawaan Institusi Lembaga Adat Perpatih Naning Ke-20 selaras dengan adat, syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sambutan pada tahun ini merumuskan empat prinsip utama sebagai pegangan bersama seluruh warga Naning iaitu 'Adat Dijunjung, Warisan Dipelihara, Muafakat Diperkukuh dan Institusi Dipertahankan'.

Ujarnya, perjuangan memelihara warisan ini bukan milik individu semata-mata, sebaliknya amanah bersama demi memastikan adat dan institusi sentiasa dihormati.