Kerajaan Negeri Sembilan bantah saman pemula 10 bekas Exco

Iklan
Kerajaan Negeri Sembilan membangkitkan bantahan awal terhadap saman pemula yang difailkan oleh 10 bekas Exco bagi mencabar tindakan pembatalan pelantikan mereka.

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan membangkitkan bantahan awal terhadap saman pemula yang difailkan oleh 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi mencabar tindakan pembatalan pelantikan mereka.

Bantahan itu dibangkitkan pada prosiding pengurusan kes yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Seremban menerusi sidang video di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain.

Iklan
Iklan

Kerajaan Negeri Sembilan selaku defendan kedua yang diwakili peguam, Razlan Hadri Zulkifli berhujah bahawa tindakan undang-undang berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui saman pemula, sebaliknya perlu dibawa menerusi prosiding semakan kehakiman.

Bantahan tersebut turut disokong oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan selaku defendan pertama serta pihak pencelah iaitu Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin dan DKU Negeri Sembilan.

Iklan

Mahkamah kemudiannya mengarahkan defendan kedua memfailkan notis bantahan awal dan menetapkan 16 November depan pada jam 9 pagi untuk pendengaran permohonan tersebut menerusi sidang video.

Mahkamah turut menetapkan notis bantahan awal berkenaan perlu difailkan selewat-lewatnya pada 23 Oktober, manakala hujahan bertulis hendaklah dikemukakan pada 10 November dan hujahan balasan pada 13 November.

Iklan

Sementara itu, satu lagi prosiding melibatkan permohonan Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan untuk mencelah dalam saman pemula berhubung tafsiran Perlembagaan Negeri akan didengar pada 2 November depan, juga melalui sidang video.

Dalam prosiding sama, mahkamah dimaklumkan bahawa plaintif telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober lalu bagi mendapatkan rujukan berkaitan tafsiran peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Perkara 34(2).

Prosiding itu turut dihadiri peguam Datuk Cyrus Das yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal mewakili Kerajaan Negeri.

Peguam Steven Thiru pula hadir mewakili pihak pencelah iaitu Raja Norazli dan DKU Negeri Sembilan.

Saman pemula tersebut difailkan pada 5 Oktober lalu melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan.

Sepuluh bekas Exco yang memfailkan tindakan itu ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi), Datuk Zaifulbahri Idrisi (ADUN Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong), Siow Kong Choon (ADUN Chennah), Siti Nur Umaira Hasim (ADUN Labu), Datuk Mohd Asna Amin (ADUN Lenggeng), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (ADUN Sungai Lui), Suhaimizan Bizar (ADUN Gemencheh), Mohd Fairuz Mohd Isa (ADUN Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (ADUN Sikamat).

Mereka memohon deklarasi mahkamah bahawa pembatalan pelantikan sebagai Exco yang diwartakan pada 24 September lalu adalah terbatal, tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang terhadap mereka.

Antara isu utama yang dibangkitkan ialah sama ada pelantikan anggota Exco selain Menteri Besar boleh dibatalkan menerusi penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.

Pemohon turut memohon mahkamah mentafsirkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta peruntukan berkaitan yang menyentuh tatacara pembatalan pelantikan anggota Exco.

Bagaimanapun, tuntutan tersebut masih belum diputuskan oleh mahkamah dan bantahan awal yang dibangkitkan akan didengar pada 16 November depan.