MELAKA - Kurang tiga peratus bekas banduan atau prospek yang mengikuti program pemulihan Jabatan Penjara Malaysia kembali melakukan kesalahan berulang sementara lebih 90 peratus daripadanya telah insaf dan menjalani kehidupan lebih baik selepas dibebaskan.
Pengarah Jabatan Penjara Negeri Melaka, Timbalan Komisioner Penjara Khairil Nizam Anuar berkata, pengaruh rakan, penerimaan keluarga serta stigma masyarakat terhadap bekas banduan antara faktor mendorong kumpulan itu melakukan kesalahan berulang.
"Stigma itu masih ada lagi, tetapi kita mahu kurangkan melalui program seperti ini.
"Jabatan Penjara turut mengorak langkah untuk bersama masyarakat setempat bagi memberi penerangan mengenai program-program yang dilaksanakan supaya mereka dapat menerima semula prospek untuk kembali kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Madani Yakin sempena Kemerdekaan Negara ke-69 di Penjara Sungai Udang di sini pada Rabu.
Seramai 49 prospek terdiri daripada 47 lelaki dan dua wanita dibebaskan menerusi program berkenaan.
Daripada jumlah itu, 40 prospek akan ditempatkan dengan majikan untuk bekerja, dua kembali kepada keluarga manakala tujuh lagi ditempatkan di Rumah Perantaraan.
Khairil Nizam berkata, kadar pengulangan kesalahan di bawah tiga peratus itu menunjukkan keberkesanan pendekatan pemulihan yang dilaksanakan Jabatan Penjara.
Beliau berkata, prospek yang dilepaskan akan dipantau pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti (PBD) dari semasa ke semasa sehingga baki hukuman mereka tamat.
Katanya, tempoh mereka berkhidmat dengan majikan adalah antara dua hingga 24 bulan bergantung kepada baki hukuman yang perlu dijalani.
"Pendekatan ini diambil supaya sebelum mereka keluar sepenuhnya, mereka sudah bersedia untuk kembali kepada masyarakat, termasuk mempunyai pekerjaan dan pendapatan.
"Ini bagi mengelakkan mereka hilang arah atau tidak mempunyai tempat untuk dituju selepas dibebaskan," katanya.
Tambah beliau, ketika ini terdapat kira-kira 35 majikan berdaftar di Melaka yang menyertai program tersebut melibatkan pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, perladangan dan perkilangan.
"Majikan akan sentiasa kita cari supaya bidang pekerjaan dapat diperluaskan. Kita juga memberi penerangan secara mendalam supaya mereka faham mengenai program ini dan tidak bimbang untuk mengambil prospek bekerja.
"Ada juga prospek yang selepas tamat hukuman terus diambil bekerja oleh majikan sekiranya mereka menunjukkan prestasi dan sesuai untuk dikekalkan," katanya.
Sementara itu, seorang prospek PBSL, Ahmad, 38, berkata, peluang menjalani program itu memberi harapan kepadanya untuk kembali kepada keluarga dan masyarakat serta mendapatkan pekerjaan seterusnya membina kehidupan baharu.
Katanya, ini kali kedua dia dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan kerana status sebagai bekas banduan.
"Alhamdulillah, saya syukur sangat dengan PBSL ini membuka peluang untuk saya kembali kepada keluarga dan bekerja.
“Terima kasih kepada pihak Parol yang membantu kami mendapatkan pekerjaan serta majikan yang memberi kepercayaan dan peluang kedua untuk kami bekerja," katanya.