RCI Tabung Haji: Akmal diminta terima dapatan, bukan alih tiang gol – Danish

Iklan
Danish Hairudin

SHah ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh diminta menerima keseluruhan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), bukannya mengalihkan fokus selepas laporan berkenaan didedahkan kepada umum.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, Akmal sebelum ini antara pihak yang lantang mendesak supaya laporan RCI Tabung Haji didedahkan.

Iklan
Iklan

“Namun apabila apa yang didedahkan tidak menepati naratif politik yang mahu beliau bawa, beliau cuba mengalihkan tiang gol pula,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Akmal mempertahankan gesaan supaya RCI baharu mengenai Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat semula isu pengurusan institusi berkenaan.

Iklan

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai pemindahan aset Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0.

Akmal mendakwa aset TH yang dipindahkan kepada UJSB ketika itu bernilai RM9 bilion, manakala UJSB dikatakan membeli aset berkenaan pada harga RM19 bilion melalui terbitan sukuk.

Iklan

Beliau turut mempersoalkan jumlah tunai yang telah diterima TH sehingga kini serta sama ada ia hanya berupa 'kertas hutang' yang dipanjangkan tempohnya.

Akmal turut merujuk kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, yang sebelum ini membangkitkan persoalan berkaitan UJSB.

Mengulas lanjut, Danish berkata, persoalannya kini sama ada semua pihak perlu mengikut telunjuk Akmal dan UMNO sehingga mendapat jawapan yang dikehendaki mereka.

Beliau berkata, RCI Tabung Haji bukan ditubuhkan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, justeru ketidakpuasan terhadap dapatan laporan itu tidak seharusnya dialihkan kepada kerajaan hari ini.

Menurutnya, UMNO mempunyai Ahli Parlimen dan pada masa sama merupakan sebahagian daripada kerajaan. Justeru, jika terdapat perkara dalam laporan RCI yang dirasakan tidak lengkap, ia boleh dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Kalau ada perkara dalam laporan RCI yang dirasakan tidak lengkap, bawa ke Parlimen, bahas, tanya dan desak jawapan,” katanya.

Danish berkata, sekiranya terdapat bukti baharu, perkara itu wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat tanpa mengira siapa yang terbabit.

“Kita tidak perlu lindungi sesiapa. Tetapi jangan pula perkara besar yang sudah ada depan mata dibuat-buat tidak nampak,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa isu seperti perakaunan kreatif, kelemahan tadbir urus dan pelaburan yang mengalami kerugian sehingga 100 peratus tidak menjadi tumpuan.

“Ini semua persoalan besar yang sepatutnya Saudara Akmal dan UMNO jawab dan perjuangkan. Anehnya, bab ini senyap pula,” katanya.

Dalam pada itu, Danish berkata, beliau bersetuju dengan gesaan supaya laporan RCI didedahkan sepenuhnya, namun menegaskan semua pihak perlu bersedia menerima keseluruhan dapatan, termasuk perkara yang mungkin tidak selesa untuk UMNO sendiri.

“Dedahkan semuanya. Bahaskan semuanya. Termasuk perkara yang mungkin tidak selesa untuk UMNO sendiri. Jangan hanya memilih bahagian tertentu untuk mengukuhkan naratif politik,” katanya.

Danish berkata, Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan amanah yang membabitkan wang jutaan pendeposit.

“Tabung Haji bukan milik UMNO. Bukan milik Keadilan. Bukan milik mana-mana parti. Ini duit dan amanah jutaan pendeposit.

“Kalau benar mahu kebenaran, terima kebenaran itu sepenuhnya. Jangan cari RCI sampai jumpa jawapan yang kita suka,” katanya.