TERENGGANU selama ini sinonim dengan petroleum dan gas sebagai antara sumber utama yang menyumbang kepada pembangunan negeri.
Struktur ekonomi negeri juga masih menunjukkan kebergantungan yang besar kepada rantaian industri berasaskan petroleum dan petrokimia.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2025 merekodkan KDNK Terengganu sebanyak RM40.6 bilion, dengan sektor pembuatan menyumbang sekitar RM14.5 bilion atau hampir 36% KDNK negeri.
Produk petroleum, kimia, getah dan plastik pula membentuk 94.5% daripada keseluruhan sektor pembuatan Terengganu.
Realiti ini menunjukkan petroleum masih menjadi tonggak penting ekonomi negeri.
Namun perubahan landskap ekonomi dunia, turun naik harga komoditi serta keperluan memperkukuh kedudukan kewangan negeri menuntut Terengganu meneroka sumber ekonomi baharu secara lebih tersusun. Antara sektor yang mempunyai potensi besar ialah industri mineral dan galian.
Data Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menunjukkan Terengganu mempunyai sumber mineral yang luas.
Berdasarkan anggaran sumber mineral terukur sehingga tahun 2024, nilai keseluruhannya dianggarkan sekitar RM184.1 bilion, merangkumi REE, bijih besi, emas, bijih timah, bauksit, pasir silika, batu silika, batu dimensi, lempung bebola, kaolin, pasir sungai dan pasir laut.
Peta Mineral Terengganu 2019 pula merekodkan sekurang-kurangnya 18 unsur mineral yang dikenal pasti mempunyai potensi di negeri ini.
Angka RM184.1 bilion itu belum semestinya menggambarkan keseluruhan potensi sebenar. Sebahagian data masih berasaskan pemetaan dan pengukuran pada tahap tertentu.
Eksplorasi, pensampelan dan pengesahan sumber yang lebih terperinci boleh memberikan gambaran lebih tepat tentang nilai sebenar mineral negeri.
Mempunyai kekayaan di dalam bumi tidak bermakna ia secara automatik menjadi hasil. Ia perlu diterokai dengan ilmu, dipetakan dengan tepat dan dibangunkan melalui model yang memberikan manfaat kepada negeri dan rakyat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan Kami turunkan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia.” (Surah al-Hadid: 25)
Ungkapan “manfaat bagi manusia”, memberikan prinsip yang jelas. Sumber galian bukan sekadar untuk dikeluarkan, tetapi mesti diurus sehingga manfaatnya kembali kepada rakyat melalui hasil negeri, pekerjaan, industri dan peluang ekonomi.
Potensi ini diberikan perhatian secara langsung oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang berulang kali menekankan keperluan negeri mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada petroleum.
Sumber galian dan mineral telah diletakkan sebagai salah satu strategi dalam Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu atau New Income Terengganu (NIT). Dalam isu REE, Terengganu mempunyai sekitar 44% potensi REE yang belum diterokai di Semenanjung Malaysia.
Keseriusan itu turut diterjemahkan melalui penubuhan Majlis Mineral REE Negeri Terengganu pada Oktober 2023 yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar bagi menentukan dasar dan hala tuju pembangunan sumber strategik berkenaan.
Penekanan Menteri Besar cukup jelas bahawa Terengganu tidak boleh sekadar menggali dan menjual bahan mentah. Sekurang-kurangnya sumber yang dikeluarkan perlu bergerak kepada peringkat pertengahan supaya nilai tambahnya kekal di negeri ini.
Pembangunan mineral tidak seharusnya berhenti pada peringkat huluan, iaitu meneroka, menggali dan menjual bahan mentah.
Jika model itu sahaja digunakan, negeri mungkin memperoleh royalti tetapi sebahagian besar nilai ekonomi akan tercipta di tempat lain.
Hala tuju negeri mesti merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada huluan kepada pertengahan dan seterusnya hiliran.
Pada peringkat huluan, fokus diberikan kepada pemetaan, eksplorasi dan pengesahan sumber. Pada peringkat pertengahan, mineral diproses, diasing dan ditingkatkan grednya.
Pada peringkat hiliran pula, mineral tersebut digunakan bagi menghasilkan produk bernilai lebih tinggi.
Terengganu tidak mahu REE hanya keluar sebagai bahan mentah, sebagaimana silika juga tidak sepatutnya sekadar dikeluarkan sebagai pasir.
Semakin jauh sumber itu dapat dibawa dalam rantaian nilai, semakin besar kesan gandaan ekonominya kepada negeri.
Atas keperluan itu, Kerajaan Negeri sedang memperkemaskan Pelan Pembangunan Mineral Negeri Terengganu. Antara terasnya ialah pemerkasaan polisi dan tadbir urus, pengukuhan inventori dan pemetaan, pengoptimuman hasil negeri, pembangunan modal insan serta pemerkasaan teknologi dan penyelidikan.
Negeri juga perlu bergerak daripada pendekatan menunggu pelabur kepada menawarkan peluang pelaburan yang telah distrukturkan.
Ini memerlukan pakej maklumat pelaburan yang lengkap, mineral fokus, kawasan pembangunan yang jelas serta syarikat peneraju yang mempunyai modal, teknologi dan akses pasaran.
Pelabur tidak sepatutnya datang, menggali dan membawa semua nilainya keluar. Pelaburan yang baik mesti meninggalkan nilai kepada Terengganu dalam bentuk hasil negeri, pekerjaan berkemahiran, pemindahan teknologi, industri sokongan dan penyertaan syarikat tempatan.
Dalam kesungguhan membuka sektor ini, aspek penguatkuasaan mesti diperkasakan bagi mengelakkan ketirisan, pengeluaran tanpa kebenaran dan kehilangan royalti.
Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderiaan jauh dan kecerdasan buatan (AI) juga boleh digunakan dalam pemetaan, semakan data, penyediaan laporan dan pengesanan anomali antara pengeluaran, pengangkutan dan royalti.
Pelan pembangunan mineral sendiri telah mengenal pasti teknologi dan AI sebagai antara instrumen yang perlu diperkasakan.
Kita mahu sumber baharu, tetapi sumber baharu itu mesti diiringi dengan tadbir urus yang lebih cekap, telus dan berintegriti.
Pada akhirnya, kejayaan sektor mineral tidak boleh diukur hanya melalui berapa juta tan yang dikeluarkan atau berapa juta ringgit royalti yang dikutip.
Ukuran sebenarnya ialah berapa banyak kekayaan itu kekal dalam ekonomi Terengganu, berapa banyak industri baharu diwujudkan, berapa ramai anak Terengganu memperoleh pekerjaan berkemahiran dan berapa banyak syarikat tempatan berkembang bersama industri tersebut.
Inilah makna sebenar daripada maksud al-Quran “manfaat bagi manusia”, sumber yang akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat.
Terengganu mempunyai khazanahnya. Cabaran kita sekarang ialah memastikan kekayaan yang tersimpan di bumi negeri ini diterjemahkan menjadi hasil negeri, kekuatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Terengganu.
*Dr Zulhimi Abd rahman ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Peningkatan Kualiti dan Produktiviti. Bidang kepakaran beliau merangkumi pengukuran kualiti dan produktiviti, sistem pengurusan kualiti Islam serta pengurusan dan perancangan strategik.