Perbezaan RM4.8 bilion, kerajaan perlu jawab kedudukan sebenar TH – INTRAS

Iklan
Kerajaan perlu memberi penjelasan menyeluruh berhubung perbezaan kira-kira RM4.8 bilion antara keuntungan RM3.4 bilion dan kerugian sekitar RM1.4 bilion yang dikaitkan dengan kedudukan kewangan TH bagi tahun kewangan 2017- Foto hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan perlu memberi penjelasan menyeluruh berhubung perbezaan kira-kira RM4.8 bilion antara keuntungan RM3.4 bilion dan kerugian sekitar RM1.4 bilion yang dikaitkan dengan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2017.

Presiden Pertubuhan Integriti dan Antirasuah Malaysia (INTRAS), Datuk Mohamad Fauzi Husin berkata, persoalan berhubung perbezaan angka berkenaan tidak seharusnya berakhir dengan penjelasan bahawa ia berpunca daripada perbezaan metodologi, mandat, objektif dan skop antara laporan audit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rakyat berhak mengetahui kedudukan kewangan sebenar TH pada ketika keputusan berkaitan hibah dibuat, termasuk maklumat yang diketahui pihak pengurusan, lembaga pengarah dan kerajaan ketika itu.

“Apabila dua laporan mengenai kedudukan kewangan sebuah institusi awam yang sangat penting menghasilkan angka yang amat berbeza, rakyat berhak bertanya.

Iklan

“Perbezaan angka itu tidak semestinya bermaksud seseorang telah ‘menipu’ atau bahawa satu laporan itu sengaja direka. Namun, ia melahirkan persoalan lebih besar mengenai bagaimana kaedah dan piawaian yang berbeza boleh menghasilkan gambaran kedudukan kewangan yang begitu jauh berbeza,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tegas Mohamad Fauzi, persoalan lebih penting ialah bagaimana gambaran kewangan sebenar diketahui pihak berkaitan ketika keputusan kewangan dibuat dan sama ada keputusan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang lengkap.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan pihak yang bertanggungjawab menentukan kaedah perakaunan yang digunakan ketika itu serta tindakan susulan terhadap sebarang kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti.

“Apakah kedudukan kewangan sebenar TH pada akhir 2017? Mengapa penyata kewangan menunjukkan keuntungan RM3.4 bilion sedangkan penilaian berdasarkan MFRS menunjukkan kerugian sekitar RM1.4 bilion?

“Siapakah yang bertanggungjawab menentukan kaedah perakaunan yang digunakan ketika itu dan apakah maklumat mengenai kedudukan kewangan sebenar yang diketahui oleh pihak pengurusan, lembaga pengarah dan kerajaan ketika keputusan berkaitan hibah dibuat?” katanya.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan kerajaan pada 29 Julai lalu mendapati, sekiranya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) digunakan sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion bagi 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan ketika itu.

RCI turut menyentuh kegagalan membuat rosot nilai terhadap beberapa pelaburan, isu berkaitan nilai saksama pelaburan hartanah serta pengiktirafan pendapatan tertentu, selain mendapati hibah bagi 2017 diagihkan tanpa mengambil kira sepenuhnya kesan rosot nilai dan penurunan nilai pelaburan.

Laporan itu juga menyatakan wujud defisit antara aset dan liabiliti TH sejak 2014, menunjukkan persoalan berkenaan bukan semata-mata membabitkan satu tahun kewangan.

Mengulas lanjut, Mohamad Fauzi yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perbezaan kira-kira RM4.8 bilion antara keuntungan dan kerugian berkenaan bukan angka kecil yang boleh dianggap sebagai perbezaan statistik dalam laporan kewangan.

Sebaliknya, ujar beliau, ia menyentuh persoalan bagaimana kedudukan kewangan sebuah institusi yang mengurus wang simpanan rakyat digambarkan kepada pihak berkepentingan dan masyarakat.

“Apatah lagi TH bukan syarikat biasa. Ia mengurus simpanan rakyat yang mempunyai tujuan khusus dan sangat sensitif. Kepercayaan adalah modal terbesar TH.

“Apabila kepercayaan terganggu, kesannya bukan sekadar kepada angka dalam penyata kewangan. Ia boleh menjejaskan keyakinan jutaan pendeposit,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya dipaksa memilih antara laporan Jabatan Audit Negara atau semakan PricewaterhouseCoopers (PwC), tetapi perlu diberikan gambaran mengenai kedudukan kewangan sebenar TH berdasarkan piawaian yang sepatutnya digunakan.

Tambahnya, isu tersebut juga tidak wajar dijadikan senjata politik kerana TH terlalu penting untuk dijadikan gelanggang pertarungan politik.

Bagaimanapun, katanya, atas alasan sama, isu berkenaan tidak boleh didiamkan atau sekadar diselesaikan dengan penjelasan teknikal tanpa memberikan gambaran lengkap kepada rakyat.

“Kritikan terhadap pengurusan institusi awam bukan bermaksud menghina institusi. Kritikan yang berasaskan fakta ialah sebahagian daripada usaha mempertahankan institusi tersebut.

“Kita mahu TH kuat dan dipercayai. Kita mahu wang pendeposit diurus dengan amanah. Bagi mencapai semua itu, ketelusan tidak boleh menjadi pilihan,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada pendeposit membuat keputusan kewangan berdasarkan gambaran keuntungan yang kemudiannya didapati tidak menggambarkan sepenuhnya kedudukan sebenar serta apakah jaminan perbezaan sebesar itu tidak akan berulang.

“Persoalannya bukan lagi RM3.4 bilion atau RM1.4 bilion. Kita perlu melihat apa yang berada di sebalik angka tersebut.

“Apakah kelemahan sistem? Apakah kelemahan tadbir urus? Apakah yang berlaku terhadap proses membuat keputusan? Adakah terdapat mekanisme semak dan imbang yang mencukupi?” soal beliau.

Menurutnya, persoalan utama yang perlu dijawab ialah siapa yang perlu bertanggungjawab apabila sebuah institusi awam memberikan gambaran kewangan yang akhirnya dipersoalkan.

Beliau berkata, persoalan itu bukan bertujuan mencari kambing hitam atau membalas dendam politik, sebaliknya memastikan kelemahan sama tidak berulang pada masa hadapan.

“TH dibina atas kepercayaan dan keyakinan rakyat yang mempunyai matlamat yang satu, iaitu menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci. Pendeposit menyerahkan wang mereka kerana percaya bahawa wang tersebut akan diurus secara amanah, profesional dan telus.

“Maka apabila muncul perbezaan angka berbilion ringgit, rakyat mempunyai hak untuk bertanya. Bukan kerana rakyat mahu menghukum, akan tetapi kerana rakyat mahu memahami,” katanya.

Jelas Mohamad Fauzi, kerajaan mempunyai tanggungjawab memberikan jawapan lengkap, jelas dan berasaskan dokumen bagi memulihkan keyakinan rakyat.

“Dalam pengurusan wang amanah rakyat, angka mesti benar, laporan mesti telus, keputusan mesti dipertanggungjawabkan dan kepercayaan rakyat mesti dijaga,” katanya.