AMK persoal desakan PN, UMNO tubuh RCI baharu isu Tabung Haji

Iklan
Muhammad Kamil

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan kewajaran desakan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu ditubuhkan untuk menyiasat semula isu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, RCI bukan alat untuk mencari keputusan yang memihak kepada mana-mana parti politik tetapi diwujudkan untuk mencari kebenaran berdasarkan fakta, dokumen dan keterangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika ada kesilapan dalam laporan, kemukakan bukti.

"Kalau ada fakta yang tidak tepat, buktikan. Jangan hanya menolak dapatan kerana ia tidak selari dengan kepentingan politik sendiri.

Iklan

"Hari ini, apabila dapatan RCI tidak menyebelahi mereka, mereka pula mendesak supaya RCI baharu ditubuhkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, PN menggesa kerajaan menubuhkan RCI baharu bagi menyiasat pentadbiran dan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bermula dari 2018 hingga kini.

Iklan

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu penting bagi memastikan kedudukan dan integriti institusi kebanggaan umat Islam itu terus dipertahankan secara telus dan adil.

Tambah Muhammad Kamil, ini menimbulkan persoalan besar sama ada mereka benar-benar mahu mencari kebenaran atau hanya mahu mencari keputusan yang sesuai dengan naratif politik mereka?

Jelasnya, kalau ada kesalahan dalam proses siasatan, jelaskan secara terbuka.

"Itulah cara sebuah demokrasi yang matang berfungsi.

"Bukan dengan meminta RCI diulang semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan hasilnya.

"Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah amanah jutaan pendeposit dan institusi yang sangat penting kepada umat Islam di negara ini," ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, jangan jadikan Tabung Haji sebagai bahan permainan politik semata-mata untuk mempertahankan kepentingan atau reputasi mana-mana pihak.

"Kerajaan Madani tidak takut kepada kebenaran. Jika ada kesalahan, kita siasat jika ada kelemahan, kita perbaiki.

"Jika ada pelanggaran undang-undang, tindakan mesti diambil. Tetapi jangan kerana dapatan sebuah RCI tidak menepati kehendak politik, seluruh proses dan institusi siasatan negara pula mahu dipersoalkan.

"Saya menyeru PN dan UMNO supaya berhenti mempermainkan institusi negara untuk kepentingan politik. Kalau benar mahu mempertahankan Tabung Haji, pertahankanlah dengan fakta, bukti dan hujah yang kukuh," katanya.