'Dia pesan pandu berhati-hati, tak sangka dia pula pergi tinggalkan kami'

Iklan
Mazlan menunjukkan gambar Allahyarham Nor Maisarah. 

PASIR MAS - Seorang bapa tidak menyangka pesanan anak sulungnya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, berakhir dengan anaknya itu sendiri terkorban dalam kemalangan di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di sini pada Isnin.

Mazlan Mamat, 50, berkata, anak perempuannya, Nor Maisarah Mazlan, 24, beberapa kali mengingatkannya supaya berhati-hati ketika memandu sejak dua tiga hari sebelum kejadian, terutama ketika keluar bekerja.

Iklan
Iklan

“Dua tiga hari kebelakangan ini, dia pesan kepada saya supaya pandu kereta berhati-hati apabila saya hendak pergi kerja.

“Tak sangka, dia pula yang pergi tinggalkan kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kochang di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam kejadian itu, kereta dinaiki Nor Maisarah terbabas dan melanggar pokok menyebabkan dia dan neneknya, Che Rokiah Che Idris, 73, maut.

Adik Nor Maisarah, Norqistina, 18, yang memandu kenderaan itu pula mengalami patah tangan kiri.

Iklan

Nor Maisarah dan neneknya maut selepas kereta dipandu adiknya terlibat kemalangan di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang pada Isnin.

Mazlan yang bertugas sebagai pegawai penguat kuasa Kastam di Kota Bharu berkata, Nor Maisarah adalah anak sulung daripada tiga beradik dan baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan.

Menurutnya, anaknya itu sedang menunggu majlis konvokesyen yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

“Pemergiannya secara mengejut begini memang sangat terasa dan terlalu sedih untuk kami terima selepas 23 tahun bersama,” katanya.

Menurut Mazlan, Nor Maisarah juga sangat rapat dengan Che Rokiah yang banyak menjaga dan membesarkannya sejak kecil.

“Ibu mentua saya dari Tanah Merah datang ke rumah kami di Kampung Kochang pada Ahad sebelum ikut anak-anak untuk ke pekan Rantau Panjang.

“Mereka hendak membeli barangan untuk belajar Norqistina,” katanya.

Norqistina yang merupakan pelajar semester pertama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, Melaka, kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Mazlan berkata, Norqistina sudah sedar, namun hanya mampu mengangguk dan menangis selepas dimaklumkan mengenai kematian kakaknya dan nenek mereka dalam kemalangan berkenaan.

“Norqistina sepatutnya menaiki bas pulang ke IPG di Melaka hari ini,” katanya.

Jenazah Nor Maisarah dan Che Rokiah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kochang selepas disolatkan di Masjid Bunut Susu kira-kira jam 12 tengah malam tadi.