Banduan maut dipukul tiga rakan sepenjara gara-gara hutang lama

Iklan
Seorang banduan maut selepas dipercayai diserang dan dipukul oleh tiga rakan sepenjara. Gambar kecil: Sofian

​MARANG - Seorang banduan maut selepas dipercayai diserang dan dipukul oleh tiga rakan sepenjara dalam kejadian di Penjara Marang di sini pada Isnin.

​Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Sofian Redzuan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang warden penjara pada jam 12.31 tengah hari.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, kejadian berlaku membabitkan mangsa lelaki berusia 38 tahun dan tiga suspek lelaki berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun yang kesemuanya berasal dari Terengganu.

​"Bagaimanapun, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut ​Sofian, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bagi proses bedah siasat.

​Jelas beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan limpa koyak akibat hentakan benda tumpul.

Iklan

​"Kecederaan itu dipercayai akibat tumbukan atau tendangan yang dialami mangsa ketika diserang.

​"Susulan itu, polis telah menahan tiga banduan lelaki yang telah dikenal pasti sebagai suspek yang menyerang dan memukul mangsa," katanya.

​Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada masalah hutang lama serta rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa.

​"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi membawa kesemua suspek ke muka pengadilan," katanya.