GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta jabatan dan agensi berkaitan digesa menjalankan siasatan segera berhubung masalah hakisan pantai dan pencemaran laut yang berlaku di Tanjung Asam, Gertak Sanggul, Bayan Lepas.
Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati hakisan yang berlaku sejak lebih setahun lalu menyebabkan keadaan alam semula jadi di kawasan pantai berkenaan semakin berubah.
Menurutnya, banyak pokok dilaporkan tumbang akibat hakisan, manakala bangsal yang disediakan untuk pengunjung berteduh turut mengalami kerosakan akibat dibadai ombak.
“Keadaan air laut di kawasan ini sebelum ini bersih dan tidak berkelodak, namun kini semakin tercemar.
“Pasir pantai yang dahulunya putih bersih juga bertukar warna menjadi hitam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohideen berkata, ancaman ombak di kawasan terbabit juga semakin kuat selain paras air laut meningkat sehingga ke jalan utama yang menjadi laluan orang ramai ke pantai berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri menjalankan siasatan dan kajian secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar berlakunya hakisan pantai tersebut.
“CAP berpendapat kemungkinan kejadian ini berpunca daripada pelaksanaan projek tambak laut berhampiran yang mungkin menghalang arus, menyebabkan air laut berpatah balik dan membadai pantai Tanjung Asam.
“Bagaimanapun, perkara ini perlu disiasat dan dikaji secara menyeluruh oleh pihak berkuasa bagi memastikan punca sebenar masalah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kebimbangan sekiranya masalah berkenaan terbukti berpunca daripada projek tambak laut, kesan lebih serius terhadap alam sekitar boleh berlaku pada masa akan datang jika ia dibiarkan berlarutan.
“Kita juga mahu Kerajaan Pulau Pinang mendedahkan kepada umum hasil siasatan dan kajian yang dijalankan termasuk langkah yang akan diambil bagi menangani masalah hakisan pantai serta pencemaran laut di kawasan berkenaan,” katanya lagi.