KUALA LUMPUR - Tiada sebarang bukti pengauditan menunjukkan wujud kecurian atau penyelewengan dalam pengurusan Tabung Haji sepanjang tempoh perkhidmatan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.
Beliau berkata, Jabatan Audit Negara sentiasa menjalankan pengauditan berdasarkan piawaian kewangan serta bukti sahih sebelum sesuatu penyata atau sijil audit dikeluarkan.
"Semasa saya Ketua Audit Negara, saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian bagaimana yang didakwa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Haji Othman Desa, berhubung dakwaan berlaku kecurian atau penyelewengan yang nyata dalam institusi berkenaan pada program Musyawarah Nasional bertajuk Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di Premiera Hotel Kuala Lumpur pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Berdasarkan rekod rasmi Jabatan Audit Negara, Madinah berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara dari 23 Februari 2017 hingga 22 Februari 2019, iaitu selama dua tahun.
Sementara itu, bagi mengulas istilah 'sakau' yang sering dibangkitkan sebahagian pihak, Madinah berkata, beliau bertindak berdasarkan fakta dan bukti kukuh.
"Adakah dalam itu (sijil audit) disebut ada penyelewengan ke atau kecurian? Tak ada. Saya tak faham apa erti 'sakau'. Saya berpijak di bumi yang nyata, we go by the facts and the evidence," tegasnya.
Selain Madinah, forum khas itu menampilkan dua tokoh dan pakar berpengalaman bagi membincangkan isu integriti, persepsi serta pengurusan institusi pengurusan haji negara.
Mereka ialah mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah serta Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan, Dr Mohd Shahid Mohd Noh.
Penganjuran forum berkenaan bertujuan memberikan pencerahan berasaskan fakta dan realiti sebenar demi mempertahankan keutuhan Tabung Haji daripada terus dijadikan bahan propaganda politik.
Dalam sesi soal jawab sama, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shari, turut mengemukakan soalan berhubung mekanisme pemantauan bebas serta bentuk jaminan perundangan dan kerajaan bagi memastikan keselamatan wang simpanan pencarum kekal utuh.
Menjawab soalan itu, Madinah berkata, beliau bukan lagi individu yang sesuai untuk menjawab isu teknikal berkaitan pemantauan akaun dan jaminan terkini memandangkan beliau sudah bersara sejak 2019.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan pandangan peribadinya bahawa Jabatan Audit Negara sebagai sebuah Supreme Audit Institution wajar diberi kebebasan sepenuhnya dengan diletakkan di bawah Parlimen, bukannya Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan Ketua Audit Negara dapat memberikan pendapat audit secara telus tanpa rasa takut atau berpihak.
"Semasa saya masih Ketua Audit Negara, saya telah mula mengesyorkan cadangan kepada kabinet untuk Jabatan Audit Negara diletakkan di bawah Parlimen,"to be answerable to Parliament", dan bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk"to safeguard the independence of the Supreme Audit Institution".
"Tapi lepas saya bukan lagi Ketua Audit Negara, saya rasa tidak ada susulan terhadap cadangan tersebut," katanya.