PRN Melaka: Amirudin diberi amanah teliti kerjasama PH-BN - Anwar

Iklan
Amirudin Shari

SERDANG - Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari diberi mandat untuk memperincikan bentuk kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) termasuk agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Amirudin diamanahkan untuk meneliti perkara itu.

Iklan
Iklan

"Kita dah beri amanah kepada Amir (Amirudin) untuk memperincikan (hal itu)," kata beliau kepada media selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/2026 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang laporan bahawa pertemuannya dengan Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor, turut membincangkan soal pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka.

Iklan

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan pertemuan itu hanyalah berkaitan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA), dan bukannya soal politik.

"Saya jumpa Menteri Besar Selangor mengenai SUKMA. Masa sukan, mana ada masa (untuk) politik," kata beliau.

Iklan

Ditanya tentang ruang kerjasama antara parti politik pada PRN Melaka, Anwar berkata kerjasama ialah perkara penting bukan sahaja dalam kehidupan, tetapi juga dalam pentadbiran.

"Ruang kerjasama … dalam hidup ini mesti bekerjasama. Ini semua kerjasama," kata beliau ringkas.

Semalam, Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengesahkan Amirudin sudah bertemu dengan Anwar, Ahad lepas.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, jawatankuasa pilihan raya PH akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi PRN Melaka.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dipimpin oleh Amirudin dan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Bernama