IPOH - Bekas pengulas sukan dan pelakon veteran, Datuk Rahim Razali dipilih menerima Anugerah Zaid Bin Thabit iaitu Tokoh Pengamal Media sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1448H/2026M.
Penyampaian anugerah disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Selasa.
Anak kelahiran Batu Gajah berusia 87 tahun itu menerima hadiah wang tunai RM5,000 berserta plak.
Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada Yang Walad, 82.
Ibu kepada 15 cahaya mata itu dikurniakan wang tunai RM10,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000 dan plak.
Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) dikurniakan kepada bekas Qari Kebangsaan dan Antarabangsa, Radzi Kamarul Hailan, 56, dan Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pula diberikan kepada Pertubuhan Wanita Prihatin Perak.
Bagi Anugerah Tokoh Imam dikurniakan kepada Mohd Hanafiah Idris, 56, manakala Tokoh Bilal dan Tokoh Siak masing-masing kepada Yahaya Man, 83, dan Saharuddin Hassim, 73.
Masing-masing dikurniakan RM5,000 dan plak.
Sambutan bertemakan bertemakan ‘Membina Jati Diri Muslim – Memperkukuh Identiti Ummah’
Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Mengiringi baginda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Ia turut dihadiri lebih 2,000 hadirin itu dimulai dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan selawat beramai-ramai ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.