PM Jepun akui sunyi selepas kakitangan hapuskan lipas di kediaman rasmi

Iklan
Sanae Takaichi - Foto: Getty Image

TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mengakui berasa 'sedikit sunyi, atau mungkin sedih' selepas kakitangannya menghapuskan seekor lipas yang ditemuinya di kediaman rasmi ketika beliau bekerja hingga lewat malam.

Dalam perkongsian di media sosial, Takaichi, 65, berkata, beliau tidak pernah bertemu hantu yang dikatakan muncul di kediaman rasmi Perdana Menteri, tetapi pernah berdepan dengan seekor lipas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau tidak membunuh serangga itu kerana sejak kecil terpengaruh dengan karya manga Firebird oleh Osamu Tezuka yang mengangkat konsep 'kelahiran semula'.

“Firebird menggambarkan idea kelahiran semula, bahawa kehidupan saling berkaitan dan berubah bentuk, dan ia memberi kesan besar kepada saya sejak kecil,” katanya.

Iklan

Takaichi berkata, pemikiran tersebut menyebabkan beliau, sehingga dewasa, tidak sanggup membunuh serangga termasuk lipas.

Beliau menceritakan bahawa selepas berpindah ke kediaman rasmi, beliau tetap memastikan kebersihan kediaman itu dengan mengelap lantai di bawah meja makan, membuang sisa makanan ke dalam tong sampah bertutup serta mencuci dan mengasingkan bekas plastik.

Iklan

Namun, pada suatu hari, seekor lipas tiba-tiba melintas di kakinya.

Takaichi berkata, beliau kemudian membiarkan lipas itu untuk sementara waktu sambil berharap ia akan keluar sendiri.

“Saya terfikir, mungkin kehidupan ini juga sebahagian daripada kitaran kelahiran semula yang panjang,” katanya.

Bagaimanapun, selepas memaklumkan perkara itu kepada setiausahanya, kakitangan berkenaan terkejut dan segera mengambil tindakan.

“Tidak bersih. Saya akan uruskan,” kata salah seorang setiausaha sebelum operasi menghapuskan lipas itu dijalankan.

Selepas itu, Takaichi berkata, lipas tersebut tidak lagi muncul.

“Saya berasa lega, tetapi juga sedikit sunyi, atau mungkin sedih,” katanya.

Takaichi yang merupakan wanita pertama memegang jawatan Perdana Menteri Jepun dikenali kerana bekerja pada hujung minggu dan sehingga lewat malam, dengan hanya beberapa jam tidur setiap malam.

Pada Julai lalu, beliau berkongsi di media sosial bahawa akhirnya dapat tidur selama lima jam, selepas sebelum ini rutin tidurnya hanya antara sifar hingga tiga jam sehari sejak memegang jawatan tersebut.

Dalam beberapa catatan panjang di media sosial, Takaichi turut menjelaskan mengapa beliau lebih gemar bekerja dari kediaman rasmi berbanding pejabat Perdana Menteri.

Katanya, penggunaan kediaman rasmi membolehkannya mengurangkan jumlah kakitangan dan anggota keselamatan, termasuk anggota polis khas, yang perlu terlibat.

“Saya memastikan untuk menggunakan kediaman Perdana Menteri secara aktif kerana ia membolehkan saya meminimumkan jumlah kakitangan dan anggota keselamatan yang perlu terlibat,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa dirinya lebih selesa bekerja dengan jumlah kakitangan yang minimum.

Sekiranya pertemuan secara bersemuka diperlukan, Takaichi berkata, beliau hanya meminta setiausaha yang bertanggungjawab atau kakitangan berkaitan datang ke kediaman rasmi.

Suaminya, seorang bekas ahli politik yang mengalami strok pada Februari 2025, pula bertanggungjawab menyediakan makanan untuk mereka.

Perkongsian Takaichi mengenai rutin kerjanya dibuat susulan beberapa laporan yang mendakwa beliau semakin kurang menghadiri sesi Parlimen dan lebih banyak menghabiskan masa di kediamannya.

Menurut laporan akhbar Nikkei, Takaichi menghabiskan lebih separuh daripada hujung minggu dan cuti umum di kediamannya sejak menjadi Perdana Menteri.

Bloomberg pula melaporkan Takaichi mengadakan jumlah mesyuarat Kabinet paling sedikit berbanding mana-mana Perdana Menteri Jepun sejak 2012.

Perkembangan itu berlaku ketika sokongan awam terhadap kepimpinannya semakin merosot, susulan usaha kerajaan mengekalkan sistem pewarisan takhta diraja Jepun melalui garis keturunan lelaki selain kelewatan melaksanakan dasar bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Satu tinjauan pendapat bulan lalu menunjukkan kadar sokongan terhadap Takaichi berada pada 41 peratus, turun 10 mata peratusan dalam tempoh sebulan.

Angka itu juga merupakan kali pertama sokongan terhadapnya jatuh di bawah 50 peratus sejak kemenangan besar parti pimpinannya dalam pilihan raya umum pada Februari lalu.-Agensi