KLANG - Tindakan lelaki memandu secara melulu dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis peronda di Jalan Persiaran Hamzah Alang, Meru di sini pada Isnin membongkar penglibatannya dalam penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, tangkapan pemandu warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu dibuat kira-kira jam 6.10 petang.
Menurutnya, suspek yang memandu Toyota Alphard itu dikejar sejauh kira-kira tiga hingga empat kilometer.
"Siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau atas kesalahan dadah.
"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah selain semakan mendapati kenderaan digunakannya adalah milik kenalannya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut kerana mengingkari arahan berhenti dari pihak berkuasa, kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan kesalahan memandu secara melulu sehingga membahayakan keselamatan pengguna lain.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini bolehlah tampil atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Nurul Aida Roslan di talian 016-5033572.
Sebelum itu tular rakaman video orang awam memaparkan penahanan suspek di lokasi kejadian.