XABI Alonso memulakan era baharunya sebagai pengendali Chelsea dengan kemenangan 3-2 ke atas Fulham dalam aksi derby London Barat pada awal pagi Selasa.
Alonso memberikan kebebasan kepada Morgan Rogers, Cole Palmer dan Joao Pedro untuk bergerak lebih agresif di kawasan serangan, dengan pendekatan itu membuahkan hasil apabila ketiga-tiganya bergabung menghasilkan jaringan buat The Blues.
"Pemain istimewa perlu diberikan kebebasan, tetapi pada masa sama mereka perlu memikul tanggungjawab untuk membantu pasukan. Kami tahu mereka memiliki bakat untuk mencipta banyak peluang," ujar Alonso.
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Pedro membuka tirai jaringan seawal 31 saat selepas menyudahkan hantaran Palmer dengan tenang, sebelum Rogers menggandakan kelebihan Chelsea menerusi penyudah bergaya.
Rogers, yang dibeli Chelsea daripada Aston Villa dengan nilai £117 juta (RM644.67 juta), sekali lagi membuktikan mengapa kelab itu sanggup menjadikannya pemain Britain termahal dalam sejarah.
Fulham bagaimanapun kembali memberi tekanan apabila Josh King mengambil kesempatan daripada kesilapan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, untuk merapatkan jurang.
Palmer kemudian melebarkan semula kelebihan Chelsea selepas rehat menerusi jaringan dari sudut sukar bagi menjadikan kedudukan 3-1.
"Kami tidak boleh hanya bergantung kepada mereka. Kami perlu mengawal permainan, memiliki kualiti dan ketahanan. Ini permulaan yang baik," kata Alonso.
Chelsea sekali lagi berdepan detik cemas apabila kesilapan Sanchez membolehkan Gonzalo Garcia menjaringkan gol kedua Fulham, namun The Blues berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu turut memberikan gambaran berbeza terhadap Chelsea berbanding persembahan hambar mereka di bawah kendalian Enzo Maresca dan Liam Rosenior musim lalu.
Alonso, 44, dipecat Real Madrid pada Januari selepas kurang lapan bulan mengendalikan gergasi Sepanyol itu, sekali gus menjadikan Chelsea pentas penting untuk membuktikan semula kemampuannya.
Bekas pemain tengah Liverpool itu sebelum ini mencipta kejayaan besar bersama Bayer Leverkusen apabila membimbing kelab Jerman berkenaan meraih kejuaraan Bundesliga pada 2024.
"Ia perlawanan yang sangat sengit. Kami bersaing dan kami melakukan apa sahaja yang diperlukan pada ketika tertentu.
"Gol awal membantu meningkatkan keyakinan. Kami mempunyai beberapa peluang sebelum mereka menyamakan kedudukan. Pada penghujung perlawanan, anda tahu anda perlu berusaha keras dan berjuang untuk mempertahankan gol sendiri," kata Alonso.