ZON Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menandakan satu titik perubahan penting bagi Johor Selatan.
Dirangka untuk memperkukuh integrasi rentas sempadan, memudah cara aliran pelaburan serta meningkatkan daya saing ekonomi, inisiatif ini memacu fasa pertumbuhan baharu di Iskandar Puteri.
JS-SEZ meliputi kawasan seluas kira-kira 3,500 kilometer persegi yang merangkumi sembilan zon pembangunan utama.
Pelan hala tujunya bagi tempoh 10 tahun menyasarkan usaha memudah cara pelaburan, mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran dan memperkukuh integrasi ekonomi antara Malaysia dan Singapura.
Inisiatif itu diwujudkan seiring dengan kedudukan Johor yang semakin kukuh sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia, mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap peranan negeri ini sebagai hab pembuatan, logistik dan teknologi.
Pada 2025, Johor menarik pelaburan diluluskan bernilai RM110 bilion, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), prestasi kukuh negeri ini disokong oleh jaringan logistik, momentum yang didorong oleh JS-SEZ serta perkembangan pesat pusat data dan ekosistem berteknologi tinggi.
Seiring dengan peningkatan aktiviti pelaburan, permintaan dijangka meningkat bukan sahaja bagi kemudahan perindustrian, malah bagi perbandaran bersepadu yang mampu menyokong keperluan perniagaan, tenaga kerja dan komuniti setempat.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Shaharul Farez Hassan berkata, peluang yang diwujudkan menerusi JS-SEZ perlu dilihat melangkaui kemasukan pelaburan dan penciptaan pekerjaan semata-mata.
“Pertumbuhan ekonomi yang mampan juga memerlukan persekitaran bandar yang mampu menyokong kehidupan, komuniti dan bakat yang akan menjadi sebahagian daripada pertumbuhan itu.
“Justeru, pembangunan ekonomi dan pembangunan bandar perlu bergerak seiring,” katanya.
Sehubungan itu, UEM Sunrise Berhad, sebagai entiti hartanah utama UEM Group Berhad yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Berhad berada pada kedudukan yang kukuh untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya di Iskandar Puteri.
Syarikat telah mempunyai kehadiran yang kukuh di kawasan ini sejak fasa awal pembangunan Iskandar Malaysia pada 2007 dan memainkan peranan dalam membentuk Iskandar Puteri sebagai salah satu pusat bandar yang dirancang secara menyeluruh di Johor.
Sejak itu, UEM Sunrise terus memainkan peranan dalam fasa-fasa pembangunan Iskandar Puteri, daripada pembangunan kawasan kediaman, komersial dan perindustrian bersepadu hingga ke fasa pertumbuhan seterusnya yang kini didorong oleh JS-SEZ.
Syarikat memiliki pegangan tanah yang strategik di Johor, dengan sebahagian besarnya terletak di Iskandar Puteri iaitu koridor pertumbuhan yang ditetapkan di bawah Zon B JS-SEZ.
Antara aset utama dalam portfolio tersebut ialah Gerbang Nusajaya, sebuah pembangunan bandar bersepadu seluas 4,471 ekar yang dirancang untuk menyokong fasa pertumbuhan ekonomi dan perindustrian seterusnya di rantau ini.
Ketika Johor terus menarik pelaburan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, pusat data, logistik dan industri bernilai tinggi yang lain, permintaan kini berkembang melangkaui ruang perindustrian kepada ekosistem bersepadu yang merangkumi perumahan, kemudahan komersial, jaringan perhubungan dan perkhidmatan sokongan.
Gerbang Nusajaya dirancang sebagai sebahagian daripada transformasi lebih menyeluruh itu dengan menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong keperluan perniagaan, tenaga kerja dan komuniti seiring dengan momentum JS-SEZ yang semakin kukuh.
Pembangunan itu berasaskan kejayaan projek perindustrian terdahulu, termasuk Southern Industrial and Logistics Clusters (SiLC) yang telah berjaya menarik industri berteknologi tinggi dan industri bersih, serta Nusajaya Tech Park yang dibangunkan bersama CapitaLand sebagai taman eko-perindustrian bersepadu.
Perancangan masa depan Gerbang Nusajaya merangkumi kawasan eko-perindustrian berteraskan digital yang dirancang untuk menyokong industri dipacu teknologi dan inovasi serta berkaitan tenaga boleh baharu.
Kawasan itu akan menggabungkan infrastruktur digital, ciri-ciri yang menyokong sasaran pelepasan karbon bersih sifar, serta kemudahan komersial dan logistik.
Inisiatif ini sejajar dengan matlamat JS-SEZ dan keutamaan negara yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi Madani, termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sekali gus mengukuhkan daya saing Iskandar Puteri sebagai destinasi perindustrian yang menarik kepada pelabur.
Namun, daya saing sesebuah bandar tidak hanya bergantung kepada kekuatan sektor perindustriannya.
Keupayaan untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk kehidupan, rekreasi dan komuniti turut menjadi faktor penting dalam menarik serta mengekalkan tenaga kerja dan bakat.
Melengkapkan ekosistem pembangunan UEM Sunrise di Iskandar Puteri ialah Puteri Harbour, sebuah destinasi pesisir antarabangsa seluas 1,172 ekar, yang menjadi hab gaya hidup, pelancongan dan rekreasi.
Pembangunan bersepadu ini menghimpunkan kediaman, kemudahan marina, hospitaliti, sajian, riadah, seni dan kegiatan perniagaan.
Ia memperkukuh daya tarikan gaya hidup Puteri Harbour sebagai destinasi pilihan untuk bekerja, beriadah dan berkunjung.
Turut menyokong ekosistem tersebut ialah Estuari Sports Centre yang menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi kediaman bagi menggalakkan kesepaduan sosial serta kesejahteraan komuniti.
Kemampanan turut menjadi teras pendekatan pembangunan UEM Sunrise.
Projek syarikat berpandukan Sustainability Development Design Guidelines dan apabila bersesuaian, diselaraskan dengan piawaian kemampanan serta keperluan kawal selia yang berkaitan.
Melengkapi perbandaran ini ialah SIREH Park, taman rekreasi hijau komuniti bandar terbesar di Malaysia yang berkeluasan 343 ekar.
Sebagai kawasan serapan karbon semula jadi, taman ini dianggarkan mampu menyerap kira-kira 300,000 kilogram karbon dioksida (CO2) setahun, sekali gus menyumbang kepada sasaran UEM Sunrise untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.
Diuruskan oleh The Nusajaya Natural Heritage Trust (TNNHT), SIREH Park menjadi contoh kemampanan ekologi yang menggalakkan penglibatan komuniti dan penyertaan pelbagai pihak menerusi program alam sekitar serta pemerkasaan.
Antara inisiatif utamanya ialah Plant That Tree yang menyasarkan penanaman 25,000 pokok hutan tempatan menjelang 2028. Sehingga 2025, lebih 10,000 pokok telah ditanam.
Portfolio kediaman terbaharunya yang merangkumi Aspira Hills, Aspira LakeHomes, Senadi Hills dan Estuari menawarkan pilihan kediaman dalam segmen mampu milik, pertengahan dan premium, termasuk pembangunan bertanah serta bertingkat.
Dengan menawarkan kediaman pada pelbagai kategori harga, UEM Sunrise berhasrat menyokong keperluan tenaga kerja bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang Iskandar Puteri, selaras dengan peningkatan pelaburan di bawah JS-SEZ.
Ini termasuk rakyat Malaysia yang mahu menetap lebih dekat dengan peluang pekerjaan di selatan Johor dan di Singapura.
Sehingga kini, UEM Sunrise telah menyerahkan kira-kira 1,648 unit kediaman di seluruh perbandaran itu.
Selain 343 ekar kawasan hijau dan rekreasi di SIREH Park, UEM Sunrise turut menyediakan taman kejiranan, pocket gardens, kawasan permainan, kebun komuniti dan pelbagai ruang komuniti lain.
Pembangunan ini turut dilengkapi oleh 59 komponen komersial serta infrastruktur sokongan, sekali gus menyokong populasi penduduk kira-kira 3,600 orang.
Pengalaman ini memperlihatkan bahawa pembangunan perbandaran yang mampan memerlukan lebih daripada penyediaan kediaman semata-mata.
Peluang pekerjaan, kemudahan, perkhidmatan, ruang komuniti dan jaringan perhubungan perlu berkembang secara saling melengkapi.
Apabila perniagaan memulakan operasi, keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran turut meningkat, manakala pertambahan penduduk akan meningkatkan permintaan terhadap kediaman, sekolah, kemudahan kesihatan, peruncitan, rekreasi dan perkhidmatan asas lain.
Pendekatan perbandaran bersepadu UEM Sunrise dirangka untuk memenuhi keperluan yang terus berkembang ini, sekali gus membolehkan pertumbuhan ekonomi, pewujudan pekerjaan dan pembangunan komuniti berkembang seiring.
"JS-SEZ menyediakan persekitaran yang membolehkan Iskandar Puteri menarik lebih banyak pelaburan, industri bernilai tinggi dan peluang pekerjaan berkemahiran dalam jangka panjang.
"Peranan kami adalah untuk mempersiapkan perbandaran ini bagi menyokong pertumbuhan tersebut melalui pembangunan perindustrian, komersial dan kediaman yang dirancang dengan baik, sekali gus menyediakan persekitaran kondusif untuk perniagaan serta komuniti berkembang.
“Yang penting, kita bukan sahaja perlu menarik bakat ke Johor, tetapi juga mewujudkan persekitaran yang memberi mereka sebab untuk tinggal dan membina kehidupan di sini,” kata Shaharul Farez.
Jaringan Perhubungan sebagai Kelebihan Strategik
Daya tarikan Iskandar Puteri sebagai destinasi pelaburan diperkukuh oleh jaringan perhubungan pelbagai mod yang membolehkan pergerakan orang ramai, barangan dan modal secara cekap antara Malaysia dan Singapura di samping mengukuhkan peranannya sebagai hab ekonomi serantau.
Kedudukan Gerbang Nusajaya di hujung utara Laluan Kedua Malaysia-Singapura menjadikannya perbandaran pertama yang dilalui ketika memasuki Malaysia dari Singapura,serta perbandaran terakhir sebelum menyeberang ke Singapura.
Persimpangan Gerbang Nusajaya yang dibuka pada 11 Disember 2025 meningkatkan tahap keterhubungan, dengan masa perjalanan ke Pusat Pemeriksaan Tuas kini kurang daripada 15 minit, bergantung pada keadaan trafik.
Jaringan rel turut diperkukuh menerusi Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura, perkhidmatan ETS Johor Bahru-Kuala Lumpur yang baru dilancarkan serta cadangan RTS Link kedua yang menghubungkan Iskandar Puteri dengan Tuas.
Selain itu, Iskandar Puteri terletak kira-kira 25 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan mudah diakses dari Lapangan Terbang Changi Singapura, sekali gus menyediakan akses serantau serta global.
Jaringan perhubungan laut pula disokong oleh kedudukannya berhampiran pelabuhan utama termasuk Tanjung Pelepas, Pasir Gudang dan Tanjung Langsat, sekali gus meningkatkan kecekapan logistik serta perdagangan.
Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour turut menyediakan hubungan serantau dan serta membuka potensi bagi perkhidmatan feri rentas sempadan pada masa hadapan.
Perkembangan serantau yang lebih luas terus menyokong prospek pertumbuhan Johor.
Peranan Singapura sebagai pusat serantau bagi operasi ibu pejabat dan modal, ditambah dengan perubahan dalam rantaian bekalan global serta pelarasan semula ekonomi China, terus mengukuhkan minat terhadap JS-SEZ.
Faktor berkenaan meletakkan UEM Sunrise pada kedudukan strategik untuk menyokong syarikat multinasional, pelabur institusi dan rakan kongsi yang berpangkalan di Singapura yang mencari pembangunan perindustrian serta perbandaran bersepadu di bawah JS-SEZ.
Farez berkata, permintaan kekal berdaya tahan, dipacu pelabur Singapura yang mencari nilai serta ruang lebih luas, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan mahukan kediaman berkualiti berhampiran sempadan, serta pemain industri dan logistik yang memanfaatkan peluang daripada JS-SEZ.
Namun, dalam jangka panjang, kejayaan JS-SEZ tidak seharusnya dinilai melalui nilai pelaburan yang berjaya dibawa masuk semata-mata.
Ukuran yang sama penting ialah sejauh mana pertumbuhan tersebut dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi, kualiti kehidupan dan komuniti yang mampu berkembang bersamanya.
“Jika kita dapat menghubungkan pelaburan, pekerjaan, kediaman, perniagaan, mobiliti dan kehidupan komuniti dalam satu ekosistem yang saling melengkapi, Iskandar Puteri mempunyai peluang untuk muncul sebagai sebuah bandar yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga relevan untuk jangka panjang,” kata Farez.
Bagi Iskandar Puteri, peluangnya adalah untuk berkembang bukan sekadar sebagai destinasi pelaburan, tetapi sebagai sebuah bandar yang mempunyai ekonomi yang kukuh, komuniti yang berdaya tahan dan kualiti kehidupan yang menjadikannya tempat pilihan untuk tinggal, bekerja dan berkembang. Inilah masa depan yang wajar kita bina bersama.