TIDAK dinafikan, Selatan Thailand khususnya Hat Yai dan Danok sudah begitu sinonim dengan rakyat Malaysia.
Jarak yang dekat, kos perjalanan yang relatif murah dan akses mudah melalui jalan darat menjadikan kawasan berkenaan pilihan popular untuk percutian singkat, terutama ketika hujung minggu, cuti sekolah dan musim perayaan.
Namun, selepas timbul isu sekumpulan penunggang motosikal Malaysia dikenakan saman oleh pihak berkuasa Thailand, muncul pula seruan supaya rakyat Malaysia memboikot perjalanan ke Selatan Thailand.
Persoalannya, mampukah boikot itu benar-benar dilaksanakan atau sekadar reaksi sementara ketika isu berkenaan sedang hangat diperkatakan.
Ini kerana, bagi sebahagian keluarga, Hat Yai bukan sekadar destinasi pelancongan, malah sudah menjadi rutin untuk membeli-belah, menikmati makanan dan menghabiskan masa bersama keluarga.
Begitu juga kelompok penunggang motosikal yang menjadikan konvoi ke Selatan Thailand sebagai aktiviti berkumpulan, khususnya pada hujung minggu.
Justeru, untuk memboikot secara konsisten, pengguna bukan sahaja perlu mengetepikan sentimen tetapi juga sanggup mengubah kebiasaan dan memilih destinasi alternatif yang mungkin lebih jauh atau menelan kos lebih tinggi.
Soalnya, berapa lama semangat itu mampu bertahan? Seminggu, sebulan atau sehingga isu tersebut tidak lagi menjadi tajuk utama di media sosial? Bagaimanapun, rasa tidak puas hati rakyat Malaysia terhadap sesuatu tindakan penguatkuasaan juga tidak boleh dipandang ringan.
Dalam era media sosial, pengalaman seorang pelancong boleh tersebar kepada ribuan pengguna dalam sekelip mata dan akhirnya membentuk persepsi terhadap sesebuah destinasi.
Namun, dalam kita menyuarakan rasa tidak puas hati, satu perkara asas tidak boleh dilupakan iaitu undang-undang negara yang dilawati wajib dihormati.
Rakyat Malaysia yang memandu atau menunggang kenderaan di Thailand perlu memahami bahawa mereka tertakluk kepada peraturan trafik negara berkenaan, sama seperti pelancong asing perlu mematuhi undang-undang Malaysia ketika berada di negara ini.
Nasihat Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah supaya peserta konvoi menghormati pihak berkuasa Thailand juga wajar diberi perhatian.
Lebih-lebih lagi, Thailand memperketat penguatkuasaan trafik bermula 1 April 2026 dengan memberi tumpuan kepada 10 kesalahan utama yang dikenal pasti antara faktor penyumbang kemalangan jalan raya.
Antaranya termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, gagal berhenti di lintasan pejalan kaki, menggunakan telefon ketika memandu dan memandu melawan arus.
Turut diberi perhatian ialah tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak membawa lesen memandu, memandu di bawah pengaruh alkohol serta memandu tanpa mengambil kira keselamatan.
Justeru, sebelum mempersoalkan tindakan pihak berkuasa negara jiran, pelancong Malaysia juga perlu memastikan semua peraturan dipatuhi.
Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga baru-baru ini menyarankan penggemar sukan permotoran Malaysia yang mengadakan kembara ke luar negara perlu mematuhi undang-undang dan peraturan negara tuan rumah.
Beliau berkata, sikap saling menghormati, bertolak ansur dan memahami peraturan khususnya melibatkan negara jiran penting bagi memastikan hubungan baik sesama anggota ASEAN terus terpelihara.
Namun pada masa sama, pihak berkuasa Thailand perlu memastikan penguatkuasaan dilakukan secara adil dan berhemah supaya tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap pelancong Malaysia.
Boikot atau tidak, tepuk dada tanya selera.
Yang lebih penting, jadikan isu ini pengajaran supaya rakyat Malaysia lebih peka terhadap undang-undang negara yang dilawati, manakala hubungan baik antara dua negara tidak terjejas hanya kerana satu insiden.
*Roskhoirah Yahya ialah Wartawan Sinar Harian