Misteri penemuan anggota badan wanita dikerat dalam beg terbongkar

Iklan
Beg beroda merah di dalamnya ditemukan anggota badan wanita yang telah dikerat. Foto: The Hindu

NEW DELHI - Misteri penemuan anggota badan wanita tanpa kepala yang disumbat dalam beg beroda di sebuah kereta api di Agra terbongkar apabila siasatan polis membawa kepada penemuan beberapa lagi anggota badan di sebuah rumah berhampiran Chennai.

Anggota badan yang telah mereput itu ditemukan di dalam beg beroda merah di gerabak umum belakang Tamil Nadu Express ketika kereta api berkenaan berada di Stesen Kereta Api Agra Cantonment kira-kira jam 5 pagi waktu tempatan pada 5 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Susulan penemuan itu, Polis Kereta Api Agra membuka kertas siasatan sebelum mangsa dikenal pasti sebagai Hayathun Nisha, 38, berasal dari Jagatsinghpur, Odisha.

Nisha yang merupakan isteri kepada Jahhur Khan dilaporkan bekerja di sebuah syarikat swasta di Chennai.

Iklan

Berdasarkan maklumat daripada Polis Kereta Api Agra, Polis Kereta Api Kerajaan (GRP) Chennai Central bersama Cawangan Perisikan Jenayah (CIB) Pasukan Perlindungan Kereta Api (RPF) kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Platform 4, Chennai Central.

Rakaman tersebut menunjukkan seorang lelaki dan wanita membawa sebuah beg beroda yang kelihatan serupa sebelum menaiki Tamil Nadu Express yang bertolak dari Chennai Central menuju Delhi kira-kira jam 10 malam waktu tempatan pada 3 Ogos.

Iklan

Penelitian lanjut terhadap rakaman CCTV membolehkan polis menjejaki kedua-dua individu berkenaan yang dipercayai pernah tinggal di sebuah rumah di Masuthi Street, Guduvanchery.

Pasukan polis kemudian menyerbu rumah itu pada Jumaat dan dilaporkan menemukan beberapa lagi anggota badan wanita yang disimpan di dalam sebuah bekas besar.

Polis mengesyaki Nisha pernah tinggal di rumah berkenaan bersama dua suspek yang dikenal pasti sebagai Manik Uddin Laskar dari Assam dan Bhagabati Majhi dari Odisha.

Kedua-dua suspek kini masih bebas dan beberapa pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengesan mereka.

Polis Guduvanchery meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kematian Nisha serta motif di sebalik pembunuhan yang disyaki berlaku.

Siasatan turut dijalankan susulan laporan kehilangan Nisha yang dibuat oleh anak lelakinya. - Agensi