WASHINGTON - Berat badan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meningkat kira-kira 10.4 kilogram (kg) dalam tempoh tiga tahun, mencetuskan kebimbangan pakar mengenai risiko kesihatannya pada usia 80 tahun.
Trump direkodkan seberat 107.9kg ketika pemeriksaan kesihatan pada Mei lalu, berbanding 97.5kg pada Ogos 2023.
Beratnya juga meningkat 6.4kg berbanding pemeriksaan kesihatan tahun lalu.
Berdasarkan ketinggian Trump sekitar 1.91 meter, berat badannya kini hampir mencapai ambang kategori obes mengikut ukuran indeks jisim badan (BMI).
Pengarah Pusat Kebangsaan Pengurusan Berat Badan dan Kesejahteraan, Dr Scott Kahan berkata, obesiti merupakan faktor risiko kuat bagi pelbagai masalah kesihatan selain dikaitkan dengan hilang upaya dan kematian pramatang.
Antara risiko kesihatan yang dikaitkan dengan berat badan berlebihan termasuk diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok, apnea tidur, beberapa jenis kanser dan osteoartritis.
Bekas Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA), David Kessler turut memberi perhatian kepada lemak viseral iaitu lemak yang terkumpul di sekitar organ seperti hati, pankreas dan jantung.
Keadaan itu boleh dikaitkan dengan masalah metabolik termasuk rintangan insulin dan paras kolesterol tidak normal yang seterusnya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.
Corak pemakanan Trump turut menjadi perhatian kerana beliau diketahui menggemari makanan segera seperti McDonald's selain Diet Coke dan makanan diproses.
Doktor Rumah Putih sebelum ini telah memberi panduan kepada Trump mengenai pemakanan, aktiviti fizikal dan usaha menurunkan berat badan.
Bagaimanapun, laporan pemeriksaan kesihatan pada Mei menyatakan Trump berada dalam tahap kesihatan 'cemerlang' dengan fungsi jantung, paru-paru, neurologi dan fizikal keseluruhan yang baik.
Rumah Putih tidak mengulas secara langsung kebimbangan terbaharu mengenai peningkatan berat badannya, sebaliknya menegaskan Trump kekal mempunyai tahap tenaga tinggi dan mampu menjalankan tugas sebagai Presiden. - Agensi