SHAH ALAM - Semua penyedia platform P-Hailing di Malaysia digesa memastikan penghantar beragama Islam tidak dikenakan sebarang bentuk penalti apabila menolak pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, perkara itu perlu dilihat secara serius kerana ia bukan sekadar persoalan penerimaan atau penolakan pesanan, sebaliknya melibatkan hak penghantar Muslim mencari rezeki tanpa perlu memilih antara pendapatan dengan pegangan agama.
“Penolakan atas faktor agama juga tidak seharusnya menyebabkan penghantar kehilangan insentif, bonus atau keistimewaan tertentu, mengalami penurunan tahap prestasi, menerima kurang pesanan, kehilangan akses kepada slot atau zon tertentu, diberi amaran atau berdepan sekatan mahupun penggantungan akaun,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, penolakan pesanan atas faktor agama tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan penghantar melaksanakan pekerjaan.
Katanya, sekiranya penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan jatuh sehingga menjejaskan peluang mendapatkan pesanan atau pendapatan, keadaan itu boleh mewujudkan bentuk penalti algoritma yang memberi implikasi ekonomi kepada penghantar.
“PPIM berpandangan bahawa penyedia platform mempunyai keupayaan teknologi untuk membezakan antara penolakan pesanan biasa dengan penolakan yang dibuat atas alasan agama yang munasabah.
“Oleh itu, alasan bahawa sistem secara automatik mengira setiap penolakan sebagai sebahagian daripada kadar penerimaan pesanan tidak lagi memadai sekiranya kesannya menyebabkan penghantar Muslim berada dalam keadaan terpaksa memilih antara agama dengan pendapatan,” katanya.
Mengulas lanjut, PPIM menggesa semua penyedia platform p-hailing memperkenalkan mekanisme pengecualian berasaskan keperluan agama bagi membolehkan penghantar Muslim memilih untuk tidak menerima pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal.
“Pesanan tersebut hendaklah dikecualikan daripada pengiraan kadar penerimaan pesanan tanpa menjejaskan prestasi, insentif, akses kepada pesanan atau kedudukan penghantar dalam sistem.
“Platform juga boleh membangunkan sistem yang mengagihkan pesanan berkenaan kepada penghantar lain yang bersedia menerimanya, sekali gus memastikan hak pengguna bukan Islam untuk mendapatkan perkhidmatan tidak dinafikan,” katanya.
Dalam pada itu, PPIM turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberikan perhatian dan panduan yang jelas terhadap isu berkenaan susulan perkembangan ekonomi digital yang turut melibatkan persoalan halal serta haram dalam rantaian perkhidmatan penghantaran.
“PPIM mencadangkan JAKIM mengadakan libat urus bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), penyedia platform p-hailing, persatuan pekerja gig, wakil pengguna dan pihak berkepentingan bagi merangka satu garis panduan yang jelas serta praktikal.
“KESUMA juga perlu meneliti perkara ini dalam kerangka pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872],” katanya.
PPIM berkata, keputusan sistem dan algoritma berkaitan penugasan perkhidmatan juga boleh memberi kesan langsung terhadap peluang seseorang penghantar memperoleh pendapatan, justeru perkara itu perlu diteliti dalam konteks perlindungan pekerja gig.
Dalam pada itu, PPIM mencadangkan satu standard atau garis panduan nasional berkaitan penghantaran barangan tidak halal berdasarkan standard Halal Logistik MS2400 dibangunkan melalui kerjasama KESUMA, JAKIM, penyedia platform dan pihak berkepentingan.
Menurutnya, garis panduan itu sekurang-kurangnya perlu memastikan penghantar Muslim mempunyai pilihan untuk tidak menerima pesanan yang jelas melibatkan arak dan khinzir tanpa menjejaskan kadar penerimaan, prestasi, insentif, akses kepada pesanan atau peluang pendapatan.
“Platform juga perlu menyediakan mekanisme semakan atau rayuan yang telus sekiranya penghantar percaya mereka telah dikenakan tindakan secara tidak adil.
“Penyelesaiannya bukan dengan menyekat hak pengguna, sebaliknya membangunkan sistem yang lebih pintar, adil dan inklusif,” katanya.
PPIM turut menyeru penyedia platform mengambil tindakan proaktif, manakala JAKIM dan KESUMA perlu memimpin penyelesaian melalui garis panduan serta kerangka perlindungan yang jelas supaya teknologi serta algoritma tidak menyebabkan penghantar Muslim terpaksa mengorbankan pegangan agama dalam mencari rezeki.