PUTRAJAYA – Hotel bajet dan rumah tumpangan sekitar Seremban Negeri Sembilan dipercayai dijadikan lokasi kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing terbongkar susulan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Ahad.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya telah menyerbu tiga lokasi sekitar daerah itu dalam operasi yang bermula jam 2 petang.
"Seramai 57 individu berusia antara 19 hingga 65 tahun ditahan termasuk tujuh lelaki warga tempatan, tiga lelaki Indonesia, 12 lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar.
"Turut ditahan ialah 26 wanita Indonesia, lima wanita Bangladesh dan seorang wanita India," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Zakaria berkata, operasi dijalankan berdasarkan maklumat awal daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur berkaitan warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral serta hasil risikan pihaknya.
"Pemeriksaan di premis terbabit turut membawa kepada penyitaan beberapa pasport Bangladesh, India dan Indonesia, telefon bimbit, kunci premis serta kondom.
“Siasatan mendapati kegiatan ini dijalankan dengan menempatkan wanita warga asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian atau antara seminggu hingga sebulan," katanya.
Beliau berkata, premis itu dipercayai diurus dan dikawal warga tempatan dan warga asing yang berperanan sebagai ‘kapten’ atau pengurus premis.
"Wanita warga asing terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan seks pada kadar RM50 bagi setiap perkhidmatan kepada pelanggan terdiri daripada warga asing dan tempatan.
"Kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak setahun lalu mempunyai struktur pengurusan tersusun bagi memastikan operasi berterusan dan dianggarkan mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun," katanya.
Zakaria berkata, tujuh warga tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
“Warga asing lain pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya.