SHAH ALAM - Tindakan membida tongkat milik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada nilai RM16,500 disifatkan bukan atas dasar taasub atau melihat kepada nilai fizikal barangan berkenaan, sebaliknya sebagai ingatan serta peringatan sepanjang hayat.
Bekas pendaki Gunung Everest termuda dari Asia Tenggara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, bidaan yang dibuat pada majlis sumbangan Perjuangan Pas Melaka dan Pas Malaysia itu dijadikan sebagai iktibar peribadi mengenai hakikat kehidupan manusia.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tongkat Ayahcik dibida bukan kerana taasub' – Khairuddin
Tongkat Presiden Pas dilelong RM15,000 dikritik, Ahmad Fadhli ungkit gambar pemimpin PH RM500,000
Menurutnya, tongkat berkenaan menjadi peringatan mesra tetapi tegas bahawa kekuatan fizikal yang dimiliki seseorang pada hari ini tidak akan kekal selamanya.
"Hari ini kita masih kuat, masih mampu berjalan, mendaki puncak tertinggi dunia, berlari 50 kilometer, berkayuh keliling dunia, serta bekerja dan berjuang di mana sahaja. Tetapi kekuatan itu tidak akan kekal selamanya.
Terdahulu, tongkat milik Abdul Hadi dibida oleh bekas pendaki Gunung Everest termuda dari Asia Tenggara itu pada harga RM16,500.
Lelongan dalam Majlis Makan Malam Amal Pas Negeri Melaka pada Ahad itu diadakan sebagai salah satu usaha mengumpul sumbangan untuk tabung parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dalam rakaman sama, beliau turut memetik firman ALLAh dalam Surah Yasin ayat 68 yang bermaksud:"Dan barangsiapa kami panjangkan umurnya, nescaya kami akan kembalikan dia kepada keadaan lemah."
Sehubungan itu, Muhamad Muqharabbin mengingatkan masyarakat supaya terus berjuang dan berbakti selagi dikurniakan usia dan kudrat, tanpa perlu menunggu sehingga fizikal tidak lagi mampu.
Beliau turut menegaskan tiada timbul isu taksub kepada mana-mana makhluk kerana penghormatan tertinggi umat Islam hanyalah kepada Junjungan Besar Baginda Rasulullah SAW.
Mengulas mengenai angka bidaan RM16,500, beliau menjelaskan nilai numerik itu membawa simbolik peribadi untuk sentiasa mengingatkan dirinya terhadap pilar asas agama.
"Angka 165 itu bermaksud 1 Ihsan, 6 Rukun Iman, dan 5 Rukun Islam. Manakala angka '00' di belakangnya mewakili simbolik bahawa akhirnya kita akan meninggalkan dunia ini tanpa membawa apa-apa harta.
"Ini bukan tafsiran agama terhadap angka, sebaliknya sekadar simbol bagi mengingatkan diri agar sentiasa menjaga Islam, Iman, dan Ihsan hingga ke akhir hayat," jelasnya sambil memetik Surah Ar-Rahman ayat 26 mengenai kebinasaan semua makhluk di bumi.
Beliau menambah, tongkat berkenaan akan sentiasa membawa kenangan serta peringatan besar dalam hidupnya dan menyatakan hasrat untuk hadir ke Muktamar Pas 2026 di Kelantan pada September depan.