KOTA KINABALU - Sebanyak 15 helaian kertas berasingan yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir mempunyai komposisi kimia sama dengan kertas dalam jurnal 'Love and Peace' yang turut diperiksa oleh saintis forensik dalam inkues kematian remaja itu.
Pensyarah dan Penyelidik Sains Forensik, Dr Dzulkiflee Ismail yang merupakan saksi ke-78 berkata, hasil pemeriksaannya memberikan sokongan saintifik yang kukuh bahawa 15 helaian berlabel Y1 hingga Y15 itu pada asalnya berasal daripada jurnal berlabel WK9 berkenaan.
Menurutnya, beliau diminta memeriksa kertas jurnal WK9 dan Y1 hingga Y15 bagi menentukan sama ada kertas yang digunakan untuk 15 helaian berasingan itu berasal daripada sumber sama dengan kertas dalam jurnal tersebut.
"Saya menggunakan sebuah jurnal 'Love and Peace' yang baharu dan belum pernah digunakan, daripada jenis sama seperti WK9 sebagai sampel kawalan untuk tujuan perbandingan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan saksinya bagi inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.
Dzulkiflee berkata, pemeriksaan dilakukan menggunakan teknik spektroskopi ATR-FTIR yang membolehkan komposisi kimia kertas dikenal pasti menerusi corak 'cap jari' inframerah tanpa merosakkan atau mengubah dokumen yang diperiksa.
Menurutnya, perbandingan corak berkenaan membolehkan kertas daripada pengeluar atau kelompok pengeluaran berlainan dibanding dan dibezakan bagi membantu menentukan sama ada ia berasal daripada sumber sama atau berbeza.
Katanya, data yang diperoleh kemudian dianalisis menggunakan dua kaedah statistik dikenali sebagai Principal Component Analysis (PCA) dan Linear Discriminant Analysis (LDA).
"Menggunakan PCA, saya mendapati halaman Y1 hingga Y15 membentuk satu kelompok yang rapat, bermakna ia mempunyai ciri kimia yang sangat serupa antara satu sama lain.
"Yang penting, bacaan daripada jurnal WK9 berada dalam kelompok sama dengan Y1 hingga Y15, bermakna WK9 berkongsi profil kimia sama dengan helaian berasingan tersebut.
"Sebaliknya, bacaan daripada jurnal baharu yang belum digunakan membentuk kelompok berasingan yang jelas berbeza daripada WK9 dan Y1 hingga Y15," katanya.
Dzulkiflee berkata, analisis menggunakan LDA pula mengelaskan semua sampel kepada dua kumpulan iaitu jurnal kawalan yang belum digunakan dalam satu kumpulan, manakala Y1 hingga Y15 bersama WK9 dalam kumpulan lain.
Menurutnya, kaedah itu mengelaskan 100 peratus sampel dengan betul ke dalam kumpulan masing-masing, manakala semakan menggunakan teknik pengesahan statistik menunjukkan kaedah berkenaan kekal tepat sebanyak 98.5 peratus dengan WK9 secara konsisten dikelompokkan bersama Y1 hingga Y15 dan bukannya jurnal kawalan.
"Secara keseluruhannya, keputusan saya menyokong kesimpulan bahawa kertas Y1 hingga Y15 mempunyai komposisi kimia sama dengan kertas jurnal WK9 dan boleh dibezakan secara kimia daripada jurnal yang belum digunakan daripada jenama dan jenis sama.
"Dalam erti kata lain, terdapat sokongan saintifik yang kukuh bagi kesimpulan bahawa helaian berasingan Y1 hingga Y15 pada asalnya berasal daripada jurnal WK9," katanya.
Bagaimanapun, Dzulkiflee menjelaskan, skop pemeriksaannya hanya terhad kepada usaha menentukan kemungkinan kertas berkenaan berasal daripada sumber sama berdasarkan komposisi kimianya dan bukan berkaitan tulisan tangan.
"Saya tidak memeriksa atau memberikan sebarang pandangan mengenai tulisan tangan yang terdapat dalam dokumen ini atau siapa yang menulis mana-mana catatan. Bahagian pemeriksaan itu dilakukan secara berasingan oleh Dr Tay Eue Kam," katanya.