Syarikat e-makanan, penghantar makanan beroperasi sepanjang Ramadan

Iklan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Sepanjang bulan Ramadan dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pesanan makanan melalui 41 syarikat yang menyediakan perkhidmatan e-hailing sedia ada termasuk penghantar makanan daripada restoran makanan segera boleh beroperasi seperti biasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pengusaha makanan masih boleh menggunakan perkhidmatan mereka.

Iklan
Iklan

"Untuk itu, mesyuarat hari ini juga telah memutuskan syarikat e-hailing perlu memastikan setiap pekerja mereka menjalani saringan kesihatan.

"Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat e-hailing yang beroperasi manakala bagi restoran makanan segera, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan arahan sama," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, bagi kawasan luar bandar dan bandar-bandar kecil di mana 41 syarikat e-hailing tidak beroperasi, pengusaha makanan boleh menggunakan khidmat penghantaran (delivery service) syarikat lain atau individu.

"Penghantar makanan (rider) perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka juga perlu menjalani saringan kesihatan di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta berdekatan.

Iklan

"Syarat-syarat yang dikenakan ini adalah bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk pelanggan," katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi mengenai keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semalam yang tidak membenarkan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu dan tempah dan ambil.

"Ingin ditegaskan sekali lagi, pembukaan gerai-gerai atau bazar Ramadan secara berkelompok adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh PKP," katanya.

Ditanya mengenai peniaga yang telah membuat bayaran awal atau deposit kepada pihak berkuasa bagi tapak perniagaan sepanjang Ramadan, Ismail Sabri berkata, untuk Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memulangkan kepada semua peniaga yang terlibat.