Agrobank, MSU sasar lahirkan 5,000 penggiat industri halal

Iklan
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kiri) bersama Presiden Management & Science University (MSU) Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (kanan) bergambar selepas Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Agrobank dan MSU di Seksyen 13 Shah Alam hari ini. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM – Agrobank dan Management and Science University (MSU) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat serta kompetensi industri halal.

Kerjasama pintar itu menyasarkan untuk melahirkan sejumlah 5,000 penggiat industri halal berpengetahuan serta berkemahiran.

Iklan
Iklan

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ia merupakan langkah penting dalam memperkukuh inisiatif Halal@Agrobank melalui pembangunan bakat dan tenaga profesional yang mampu menyokong pertumbuhan ekosistem halal negara.

“Industri halal bukan sahaja memerlukan lebih ramai usahawan, tetapi juga tenaga profesional yang mempunyai kompetensi untuk membantu mereka berkembang dan memenuhi keperluan industri.

Iklan

“Justeru, pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan pembangunan usahawan,” katanya pada Majlis Pemeterai Kerjasama Strategik Agrobank dan MSU di MSU di sini pada Isnin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kiri) bersama Presiden Management & Science University (MSU) Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (kanan) bergambar selepas Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Agrobank dan MSU di Seksyen 13 Shah Alam hari ini. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Iklan

Menurut beliau, kerjasama itu menyediakan laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun bermula daripada pendidikan dan latihan, penguasaan kompetensi sehingga aplikasi dalam industri.

Katanya, pendekatan berkenaan dapat membantu usahawan agromakanan meningkatkan kefahaman, memperkukuh pematuhan, menambah baik kualiti produk serta menembusi pasaran halal yang lebih luas.

Bagi Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, MoU berkenaan menjadi platform penting kepada kerjasama pintar antara khususnya menerusi International Centre for Halal Studies (ICHLAS).

Tambah beliau, pendekatan itu mengukuhkan ekosistem Industry-Embedded University yang membolehkan pihaknya melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.

“Hubungan erat antara universiti dan industri merupakan inisiatif penting dalam memastikan pendidikan kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

“Di MSU, kami melihat industri bukan sekadar sebagai rakan strategik dalam menyediakan peluang pekerjaan, tetapi sebagai rakan pembangunan yang turut menyumbang kepada pengukuhan kurikulum, pembelajaran berasaskan pengalaman, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat,” katanya.

Menerusi MoU itu, MSU akan menyumbang kepakaran dalam pendidikan dan latihan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelidikan, inovasi serta pembangunan kompetensi.

Agrobank pula akan menghubungkan kepakaran berkenaan dengan pembangunan usahawan, akses pembiayaan, khidmat nasihat halal dan peluang pasaran.

Pada masa sama, Agrobank turut menyasarkan untuk melahirkan 300 penggiat halal bertauliah yang mempunyai kompetensi khusus dalam bidang berkenaan.

Sasaran itu menyokong Pelan Hala Tuju Halal Agrobank 2026–2030 yang turut menetapkan sasaran pembangunan 10,000 usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), supaya lebih bersedia meningkatkan kapasiti perniagaan, memenuhi keperluan pematuhan halal dan bersaing di pasaran lebih luas.

MoU itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam menyokong agenda pembangunan industri halal negara, keterjaminan makanan serta melahirkan usahawan agromakanan yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di pasaran tempatan serta antarabangsa.