PENYANYI terkenal tanah air, Ziana Zain kini bergelar Datuk selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) sempena sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-77, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Anugerah berkenaan diterima Ziana, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini hari ini.
Ziana antara 189 penerima yang dikurniakan D.P.S.M. pada istiadat tersebut, yang turut menghimpunkan tokoh daripada pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, politik, korporat dan seni.
Sepanjang kerjayanya dalam dunia seni, Ziana mencipta nama menerusi pelbagai lagu popular termasuk Puncak Kasih, Anggapanmu dan Putus Terpaksa.
Beliau juga kekal menjadi antara penyanyi wanita yang mempunyai pengaruh serta tempat tersendiri dalam industri muzik tanah air sejak kemunculannya sebagai penyanyi profesional.
Penganugerahan D.P.S.M. itu menjadi satu lagi pengiktirafan terhadap sumbangan Ziana dalam bidang seni suara yang diceburinya sejak awal pembabitannya dalam industri hiburan.
Dalam istiadat sama, seramai 1,328 penerima menerima pelbagai darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka.