UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) memperkukuh agenda pembangunan bakat masa hadapan dengan menjadikan hubungan universiti-industri sebagai satu 'talent pipeline' yang lebih sistematik, bukan sekadar platform pengambilan graduan.
Langkah itu diberi penekanan menerusi penganjuran UniMAP Future Talent Roundtable 2026: Strategic Industry Dialogue on Graduate Employability pada 19 Ogos lalu yang menghimpunkan lebih 20 organisasi industri, termasuk NationGate, Bosch, MKS dan SanDisk, selain lebih 35 pengurus serta wakil sumber manusia (HR).
Program yang berlangsung di Vibe Room, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Teknologi (FKTE), UniMAP itu turut dirasmikan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Menurut Zaliman, pencapaian kadar kebolehpasaran graduan UniMAP sebanyak 99.4 peratus pada 2025 merupakan pencapaian membanggakan, namun angka berkenaan tidak seharusnya menjadi ukuran tunggal kejayaan universiti.
“Kita tidak boleh berhenti pada persoalan sama ada graduan sudah bekerja atau belum. Kita perlu memastikan graduan mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan, mampu berkembang dalam kerjaya serta berupaya menyumbang secara bermakna kepada industri dan negara,” katanya.
Berdasarkan data kebolehpasaran graduan 2025, UniMAP berada di kedudukan ketiga daripada 20 universiti awam di Malaysia dan tempat pertama dalam kalangan universiti Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
UniMAP turut menerima Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional Tertinggi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi dua tahun berturut-turut pada 2024 dan 2025.
Bagaimanapun, universiti itu kini memberi tumpuan lebih besar kepada aspek kualiti pekerjaan, termasuk kesepadanan pekerjaan dengan kelayakan, gaji kompetitif, penyertaan graduan dalam sektor strategik serta keupayaan mereka menyumbang kepada industri.
Langkah tersebut selari dengan Pelan Strategik UniMAP 2026–2030 yang menyasarkan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 99.5 peratus menjelang 2030.
Industri mahu graduan bersedia menghadapi perubahan
Perubahan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), generative AI, semikonduktor, automasi, analitik data dan pendigitalan turut menuntut universiti menghasilkan graduan yang bukan sahaja mempunyai pencapaian akademik dan kemahiran teknikal.
Sebaliknya, industri kini memerlukan tenaga kerja yang mempunyai pemikiran kritikal, kemahiran menyelesaikan masalah, literasi data, komunikasi profesional, kerja berpasukan, kebolehsuaian serta keupayaan belajar sepanjang hayat.
Keperluan itu turut menjadi asas kerjasama strategik UniMAP dengan Toyo Tyre Malaysia yang dimeterai lima hari sebelum program berkenaan, merangkumi latihan dan penempatan industri pelajar, pembangunan bakat, latihan profesional, peningkatan kemahiran serta projek penyelidikan dan inovasi bersama.
Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Malaysia, Mike Toh Poh Keong, sebelum ini menjelaskan bahawa kerjasama universiti-industri diperlukan bagi merapatkan jurang antara pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan keperluan di tempat kerja.
Sehubungan itu, UniMAP melihat pendedahan industri perlu dimulakan lebih awal dan tidak hanya ketika pelajar menjalani latihan industri.
Antara pendekatan yang boleh diperkukuh termasuk projek tahun akhir bersama industri, industrial mentorship, work-based learning (WBL), Industry on Campus serta penyelesaian masalah sebenar industri.
Sebagai universiti teknikal berteraskan kejuruteraan, teknologi dan TVET, UniMAP mempunyai 12 makmal Industry on Campus serta jaringan lebih 300 rakan strategik industri.
Lima fokus pembangunan bakat
Hasil dialog industri itu turut memperlihatkan lima keutamaan dalam pembangunan bakat masa hadapan.
Antaranya ialah menjadikan kompetensi digital sebagai kemahiran asas, memperkukuh kemahiran insaniah, memperluas pendedahan kepada masalah industri sebenar, meningkatkan pengiktirafan pensijilan profesional dan microcredential, serta beralih daripada pendekatan recruitment kepada talent pipeline.
Melalui pendekatan baharu itu, syarikat bukan hanya hadir ke kampus apabila memerlukan pekerja, sebaliknya boleh mengenal pasti bakat ketika pelajar masih dalam pengajian, menyediakan mentor, menawarkan projek industri, menyokong pensijilan dan seterusnya membuka laluan latihan industri serta pengambilan pekerjaan.
Pendekatan tersebut memberi manfaat kepada ketiga-tiga pihak apabila universiti mendapat maklum balas berterusan daripada industri, pelajar mempunyai gambaran lebih jelas mengenai keperluan kerjaya, manakala industri memperoleh kumpulan bakat yang lebih dekat dengan keperluan organisasi.
Selari PSKG 2026–2030
Usaha UniMAP itu dilihat selari dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 yang diketengahkan KPT pada 20 Ogos lalu.
PSKG 2026–2030 memberi penekanan kepada pembentukan graduan yang adaptif, tangkas dan berdaya tahan, selain aspek reskilling, upskilling, pembelajaran stackable, keanjalan sistem pendidikan mengikut perubahan pasaran kerja dan pengukuhan hubungan industri.
Sehubungan itu, maklum balas yang diperoleh menerusi Future Talent Roundtable akan diterjemahkan kepada tindakan dan sasaran yang boleh diukur.
Selain kadar kebolehpasaran graduan, antara aspek yang boleh diberi perhatian ialah kesepadanan pekerjaan dengan kelayakan dan bidang pengajian, gaji permulaan, penyertaan dalam syarikat multinasional (MNC) dan sektor strategik bernilai tinggi, pensijilan profesional, microcredential, projek industri sebenar serta penyertaan pelajar dalam structured talent pipeline sebelum bergraduasi.
Keberkesanan kerjasama industri turut boleh dinilai menerusi jumlah syarikat yang menawarkan laluan internship-to-employment, industrial mentorship, projek tahun akhir, pensijilan profesional, pengambilan pekerja di kampus dan Industry on Campus.
Pada masa sama, agenda kebolehpasaran graduan UniMAP digerakkan melalui Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE), selain penglibatan strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta jaringan industri universiti.
Cabaran utama selepas ini adalah memastikan jaringan lebih 300 rakan strategik industri itu diterjemahkan kepada laluan pembangunan bakat yang jelas dan mempunyai hasil yang boleh diukur.
UniMAP kini bukan sekadar mahu melahirkan graduan yang mampu mendapatkan pekerjaan, sebaliknya membangunkan bakat yang mampu menyesuaikan diri, meningkatkan kemahiran dan menyumbang kepada industri dalam menghadapi perubahan teknologi masa hadapan.
*Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).