SUBANG JAYA - Polis menyiasat insiden kemalangan roller coaster yang mengakibatkan kecederaan 10 individu di sebuah taman tema di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam sebelum satu laporan diterima pihaknya pada jam 11.45 pagi keesokan hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat seramai 22 penumpang roller coaster terdiri daripada warga tempatan dan pelancong luar negara berusia 11 hingga 44 tahun sedang bermain permainan tersebut.
"Mangsa yang cedera telah dibawa ke pusat perubatan di sekitar Subang Jaya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
Tambahnya, siasatan sedang dijalankan pihak polis berkaitan insiden itu.
"Masyarakat dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," ujarnya.