Jangan sampai jerebu jadi perkara biasa

Iklan
Keadaan di Sarawak dikaitkan dengan jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia. Foto Bernama

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang kembali mencatatkan paras tidak sihat di beberapa kawasan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Tujuh kawasan di empat negeri merekodkan IPU tidak sihat pada pagi Ahad dengan Sarawak paling terkesan apabila Serian mencatatkan bacaan 194, diikuti Kuching (183), Sri Aman (177) dan Samarahan (175). Johan Setia di Selangor pula mencatatkan 157, Sungai Petani, Kedah (140) dan Taiping, Perak (121).

Iklan
Iklan

Keadaan di Sarawak dikaitkan dengan jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia.

Lebih 1,800 titik panas dilaporkan dikesan di wilayah Kalimantan dengan jumlah tertinggi di Kalimantan Tengah.

Iklan

Keadaan cuaca panas dan kering ketika ini turut meningkatkan risiko kebakaran hutan serta tanah gambut.

Dalam keadaan kemarau atau fenomena El Nino, tempoh tanpa hujan yang panjang boleh menyebabkan kawasan hutan dan gambut lebih mudah terbakar, sekali gus meningkatkan risiko jerebu.

Iklan

Tiupan angin pula boleh membawa kepulan asap merentasi sempadan sehingga menjejaskan kualiti udara di Malaysia, khususnya Sarawak.

Persoalannya, sampai bila keadaan seperti ini mahu dianggap perkara biasa?

Setiap kali jerebu datang, skripnya hampir sama. IPU meningkat, aktiviti luar dikurangkan, pelitup muka kembali digunakan dan golongan berisiko dinasihatkan lebih berhati-hati.

Apabila keadaan kembali normal, isu itu perlahan-lahan hilang daripada perhatian sebelum muncul semula.

Jerebu bukan sekadar menyebabkan langit kelabu dan jarak penglihatan terhad. Ia melibatkan udara yang disedut setiap hari.

Penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama lebih erat antara negara dalam menangani kebakaran hutan dan tanah gambut.

Orang ramai pula perlu mengurangkan aktiviti fizikal di luar, memakai pelitup muka jika perlu serta sentiasa menyemak bacaan IPU melalui saluran rasmi.

Jangan sampai kita terlalu biasa dengan jerebu sehingga udara bersih akhirnya dianggap satu kemewahan.