Pendaki Malaysia didedah laluan baharu Everest, elak Khumbu Icefall

Iklan
Pandey ketika memberi taklimat laluan baharu ke Gunung Everest kepada ahli Persatuan Pendaki Everest Malaysia. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Komuniti pendaki Malaysia kini berpeluang mengetahui laluan alternatif ke Gunung Everest yang tidak melalui Khumbu Icefall, sekali gus berpotensi meningkatkan keselamatan serta menjimatkan tempoh ekspedisi.

Pendaki Gunung Everest pertama Malaysia, Datuk M Magendran berkata, laluan baharu itu dibangunkan bagi mengelakkan Khumbu Icefall yang merupakan antara kawasan paling berbahaya dalam pendakian ke puncak tertinggi dunia berkenaan.

Iklan
Iklan

Katanya, keadaan di kawasan glasier itu boleh mempengaruhi tempoh pendaki berada di Gunung Everest, terutama sekiranya berlaku runtuhan ais yang menyebabkan pendakian terpaksa dihentikan.

Magendran

Iklan

"Kalau ada runtuhan ais berlaku, pendakian akan diberhentikan dan kita kena tunggu sehingga pasukan Icefall Doctor daripada komuniti Sherpa mencari laluan baharu.

"Ini mungkin makan masa yang lama, mungkin seminggu atau 10 hari. Jadi selama itu pendaki-pendaki terpaksa tunggu di Base Camp,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Malaysia Nepal Everest and Adventure Sports Gathering sempena ‘Three Decades of Malaysia Everest Legacy’ di sebuah restoran di Jalan Ampang di sini pada Ahad.

Hadir sama, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar.

Laluan yang dikenali sebagai Sundare Sherpa-Marc Batard Route itu dicadangkan bermula dari kawasan Kem Pangkalan Everest menuju ke Rabung Nuptse sebagai pendekatan alternatif ke Kem 1 tanpa perlu merentasi Khumbu Icefall sepanjang kira-kira empat kilometer.

Magendran berkata, kewujudan laluan baharu itu berpotensi menjimatkan masa pendaki selain membolehkan pergerakan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan tanpa terlalu bergantung kepada keadaan Khumbu Icefall yang tidak menentu.

Katanya, paling utama ketika ini ialah memastikan laluan baharu berkenaan dapat menyediakan alternatif kepada pendaki bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan Khumbu Icefall.

Magendran (duduk, dua kiri) bersama Johan (duduk, kanan) dan Pandey (duduk, dua kanan) bersama sebahagian pendaki dalam sesi perkongsian di ibu negara pada Ahad.

Dalam pada itu, Magendran berkata, Malaysia dipilih untuk menerima perkongsian mengenai laluan berkenaan daripada Pengerusi Himalaya Expeditions, Bikram Pandey, kerana komuniti pendaki negara mempunyai pengalaman luas dalam pendakian gunung berketinggian tinggi.

"Malaysia merupakan sebuah negara yang agak popular dalam kalangan negara Nepal sebab terlalu ramai pendaki yang pada setiap tahun mengembara dan pergi ke Nepal untuk mendaki gunung.

“Kita mempunyai paling ramai pendaki Gunung Everest dan gunung-gunung lain yang mempunyai ketinggian 8,000 meter di Malaysia berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara,” katanya.

Tambah beliau, hubungan baik Malaysia dengan pengendali pelancongan di Nepal turut menjadi antara faktor Malaysia dipilih untuk menerima perkongsian mengenai perkembangan laluan baharu tersebut.

Menurutnya, ketika ini terdapat dua pasukan yang terlibat dalam pembangunan laluan berkenaan iaitu dari Perancis dan Nepal.

“Selain daripada itu, saya percaya ada banyak lagi pihak yang berkepentingan terlibat termasuklah kerajaan Nepal.

“Laluan ini melibatkan kos, keselamatan dan permit, jadi banyak pihak akan terlibat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pandey yang juga Presiden dan pengasas Everest Marathon berkata, laluan baharu itu kini kira-kira 70 peratus siap dan dijangka digunakan menerusi satu ekspedisi bersama pada tahun hadapan.

Beliau berkata, laluan berkenaan dibangunkan selepas mengambil kira risiko yang dihadapi pendaki ketika melalui Khumbu Icefall, iaitu kawasan glasier yang sentiasa bergerak dan sukar dijangka keadaannya.

Menurutnya, idea untuk mencari laluan alternatif tercetus daripada keperluan meningkatkan keselamatan pendaki supaya mereka dapat pulang kepada keluarga selepas menamatkan ekspedisi.

Katanya, kira-kira 70 peratus kerja laluan baharu sudah disiapkan, manakala baki 30 peratus lagi perlu dilaksanakan termasuk pemasangan sistem keselamatan dan tali.

Bagaimanapun, Pandey berkata, laluan tradisional ke Everest tidak akan ditutup selepas laluan baharu itu digunakan.

“Kedua-duanya akan dibuka kerana pendaki mempunyai pilihan. Jika mahu menggunakan laluan tradisional, mereka boleh gunakan. Jika mahu menggunakan laluan baharu yang lebih selamat, pilihan itu juga ada.

"Laluan tradisional ialah laluan klasik dan mempunyai cabaran tersendiri kerana ia merupakan laluan yang digunakan dalam pendakian bersejarah pada 1953,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, laluan baharu berpotensi memendekkan tempoh ekspedisi antara seminggu hingga 10 hari bergantung kepada keadaan.

Menurutnya, perkembangan itu memberi peluang kepada lebih ramai pendaki Malaysia untuk mencuba Everest, memandangkan 27 rakyat negara ini sudah berjaya menawan puncak tertinggi dunia berkenaan.

Justeru, beliau memaklumkan, satu ekspedisi bersama Malaysia dirancang pada tahun hadapan bagi memberi peluang kepada pendaki tempatan merasai sendiri laluan baharu berkenaan.