PH-BN perlu buat perjanjian jika mahu kerjasama hadapi PRN Melaka - Aiman Athirah

Iklan
Aiman Athirah

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu membuat perjanjian sekiranya mahu bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerjasama berkenaan lebih kukuh.

Iklan
Iklan

"Mereka kata sebelum ini tiada perjanjian, maka selepas ini perlu ada perjanjian supaya kerjasama kita itu jadi lebih kukuh dan lebih terpandu.

"Itu pun kalau ada (perjanjian). Tapi itu pun bergantung kepada perbincangan yang dibuat antara PH dan BN. Saya sendiri tidak boleh membuat keputusan secara unilateral," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen AWAN Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, seperti yang dinyatakan PH sebelum ini, gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dan bersedia untuk berunding.

Namun, ujar beliau, perkara paling penting adalah memastikan kerjasama tersebut dibuat demi kebaikan rakyat.

Iklan

"Setakat ini, seperti yang telah pun dimaklumkan oleh PH, kita berbincang dulu. Kita terbuka untuk bekerjasama dengan BN.

"Ini sedang dirundingkan, kita biarkanlah mereka dulu dan apa yang paling penting sebenarnya, apa pun kerjasama itu adalah untuk kebaikan rakyat, boleh meneruskan agenda reformasi, penambahbaikan dan menjaga integriti," katanya.

Aiman Athirah turut menegaskan bahawa pihaknya menolak politik identiti yang melampau yang dibawa oleh sesetengah pihak.

"Apa pun, kita di peringkat PH, saya meminjam semangat yang ada pada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang paling penting adalah kestabilan politik. Barulah kita dapat kestabilan dan kekukuhan ekonomi kita.

"Dan apabila ekonomi kita kukuh, maka rakyat akan mendapat manfaat yang jauh lebih banyak," katanya.

Pada masa sama beliau berharap, apa sahaja keputusan yang bakal diputuskan oleh gabungan itu, adanya kerusi yang diperuntukkan untuk calon wanita Amanah.