SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kesal Rukun Negara dilafazkan dalam bukan bahasa Melayu seperti dalam video yang tular baru-baru ini.
GPMS dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, tindakan itu jelas membuktikan masih ada pihak yang memahami asas patriotisme dan identiti kenegaraan Malaysia.
“Lebih mengecewakan, apabila terdapat pemimpin yang turut hadir majlis tersebut bersama-sama mengangkat sumpah, namun tidak berani menegur atau membetulkan perkara berkenaan.
“Seolah-olah perkara ini bukan hal yang serius dan boleh dibiarkan begitu sahaja.
Sebelum ini tular video murid sebuah sekolah membaca lafaz Rukun Negara bukan dalam bahasa Melayu.
GPMS menjelaskan, bahasa Melayu sebagai identiti kebangsaan perlu dihormati dan dimartabatkan, khususnya dalam acara rasmi negara termasuk ketika melafazkan Rukun Negara.
Menurut kenyataan itu lagi, ketegasan tersebut juga bukan bermakna menolak bahasa atau budaya lain kerana Malaysia sememangnya kaya dengan kepelbagaian bahasa dan budaya.
“Namun, kepelbagaian tidak bermakna kita boleh mengabaikan asas identiti bersama sebagai rakyat Malaysia.
“Kita boleh berbeza dalam banyak perkara, tetapi apabila menyentuh perihal Rukun Negara, bahasa kebangsaan dan identiti negara,” tegas GPMS.
Menurut GPMS, seluruh rakyat tanpa mengira lapisan masyarakat khususnya pemimpin wajar mempunyai keberanian untuk menegur apabila berlaku perkara yang tidak selari dengan semangat kenegaraan.
“Jika pemimpin itu sendiri memilih untuk berdiam diri, siapa lagi yang akan mempertahankan asas identiti negara?
"GPMS meminta semua pihak agar menghormati bahasa kebangsaan, menghayati Rukun Negara dan meletakkan kepentingan identiti Malaysia mengatasi kepentingan politik atau kepentingan kelompok," menurut kenyataan itu.