'Rumah saya bergegar'

Iklan
Selatan Thailand kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani pada Sabtu. Foto media sosial

RANTAU PANJANG - Bunyi dentuman kuat disusuli gegaran pada rumah mengejutkan sesetengah penduduk yang tinggal berhampiran sempadan Malaysia - Thailand di sini pada Sabtu malam, sehingga ada yang menyangka berlaku letupan di kawasan berhampiran.

Penduduk di Lubok Jong di sini, Mohd Izwan Azra Mohd Baharum, 39, berkata, gegaran itu dirasai dua kali antara jam 9.30 hingga 10 malam, ketika dia sedang menonton perlawanan bola sepak di rumah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bukan kali pertama rumahnya bergegar disebabkan letupan bom di negara jiran kerana insiden sebelum ini berlaku pada 2023, ketika sebuah kilang mercun dan bunga api meletup.

Ujarnya, selepas terkejut dengan kejadian itu dia memeriksa media sosial dan ramai yang berkongsi hantaran terdapat beberapa kejadian letupan berlaku di negara jiran.

Iklan

Baginya, ia sudah biasa berlaku bagaimanapun letupan serta gegaran pada malam tadi cukup kuat dibandingkan kejadian sebelumnya.

Menurut jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), sehingga jam 12 tengah malam, sebanyak 22 insiden direkodkan di Narathiwat, 18 di Yala dan 11 di Pattani. Foto media sosial

Iklan

Sementara itu Rizal Mat, 43, yang kebetulan berada di Pekan Golok, Thailand kerana urusan keluarga dikejutkan dengan letupan yang berlaku berhampiran kawasan berkenaan.

"Oleh kerana keadaan ini sudah biasa berlaku di sini, saya hanya mengikut arahan pihak berkuasa dan bertenang.

"Pagi tadi seawal jam 7 saya sudah kembali ke Rantau Panjang. Cuma terkejut juga baca di media sosial rupanya malam tadi terdapat 51 serangan berlaku di Selatan Thailand termasuk di Golok," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Selatan Thailand kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam, malam tadi.

Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.

Menurut jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), sehingga jam 12 tengah malam, sebanyak 22 insiden direkodkan di Narathiwat, Yala (18) dan Pattani (11).