JOHOR BAHRU - Laluan dari wilayah Indonesia bersempadan dengan Malaysia, khususnya Dumai, Bengkalis dan Selat Panjang di Riau manakala Batam, Bintan dan Karimun di Kepulauan Riau, dikenal pasti antara lokasi sindiket membawa masuk warga Indonesia ke Malaysia secara haram.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru memaklumkan modus operandi yang dikesan termasuk memasuki Malaysia secara sah sebelum bekerja tanpa permit, menggunakan negara ketiga seperti Thailand serta memasuki negara ini melalui laluan belakang atau laluan tidak sah.
"Perekrutan atau penipuan melalui media sosial turut dikenal pasti, khususnya melibatkan tawaran pekerjaan sebagai pembantu rumah dan anak kapal.
"Selain itu, terdapat kes eksploitasi Pekerja Migran Indonesia (PMI) termasuk tidak dibayar gaji atau menerima layanan tidak sewajarnya, selain perekrutan penduduk dari kawasan terpencil dengan tawaran gaji tinggi untuk bekerja di luar negara,” menurut KJRI dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
Turut dikenal pasti penglibatan pihak tertentu memudahkan pergerakan warga Indonesia atau PMI tanpa dokumen atau permit sah.
Pada masa sama, pihak berkuasa Indonesia mengesan perubahan modus operandi sindiket kepada penipuan dalam talian yang menyasarkan individu berpendidikan tinggi menerusi tawaran pekerjaan dan gaji lumayan di luar negara termasuk bidang teknologi maklumat.
Tindakan turut diambil melalui Polis Republik Indonesia (Polri), Direktorat Jenderal Imigrasi serta agensi berkaitan bagi memutuskan rangkaian perekrutan dan penghantaran PMI secara tidak sah atau tidak mengikut prosedur ke Malaysia.
KJRI Johor Bahru memaklumkan kerajaan Indonesia memperketat kawalan di pintu sempadannya dengan 8,287 keberangkatan ditangguhkan dan 9,394 permohonan pasport berisiko ditolak dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, antara usaha membendung penghantaran rakyat negara itu secara tidak sah ke luar negara.
Langkah menerusi Direktorat Jenderal Imigrasi itu turut melibatkan kawalan lebih ketat di pintu sempadan termasuk Batam dan Pontianak.
Berdasarkan data penguatkuasaan hingga pertengahan 2025, Polri menangani 609 kes Tindak Pidana Perdagangan Orang (TPPO) yang sebahagian besarnya berkaitan sindiket penghantaran PMI secara tidak sah atau tidak mengikut prosedur.
Menurut KJRI, pihaknya mengetahui mengenai maklumat yang tersebar luas di media sosial berhubung dakwaan kewujudan laluan tidak sah dari Indonesia ke Malaysia melalui laut.
Malah, KJRI turut memantau perkembangan itu dan telah melaporkan akaun media sosial yang didapati menyebarkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa Indonesia untuk tindakan lanjut.
KJRI Johor Bahru juga kerap menerima aduan daripada warga Indonesia yang memasuki dan bekerja di Malaysia melalui laluan atau saluran tidak sah, dengan sebahagian mereka menghubungi konsulat selepas berdepan pelbagai masalah di negara ini.
Antara bantuan diberikan ialah khidmat konsular, membantu mendapatkan dokumen perjalanan serta memudahkan proses pemulangan ke Indonesia apabila diperlukan.
"Penggunaan laluan tidak sah bukan sahaja mendedahkan mereka kepada risiko dari segi undang-undang imigresen, malah meningkatkan kemungkinan menjadi mangsa penipuan, eksploitasi dan pemerdagangan orang,” menurut KJRI.
Mengenai dakwaan terdapat warga Indonesia sanggup membayar hingga RM1,500 untuk memasuki Malaysia secara tidak sah, KJRI Johor Bahru tidak dapat mengesahkan jumlah bayaran berkenaan.
Menurut konsulat berkenaan, berdasarkan maklumat dan aduan diterima, terdapat warga Indonesia yang mengaku membayar sejumlah wang kepada pihak tertentu untuk memasuki Malaysia melalui saluran tidak sah.
Antara faktor yang mungkin mendorong keadaan itu ialah keinginan mendapatkan pekerjaan dengan segera termasuk individu berdepan kekangan untuk memasuki Malaysia melalui saluran biasa. - Bernama