Isu judi dan perobohan kuil: Kenyataan DAP cetus persoalan kebijaksanaan politik

Iklan
Azizi Safar

GEORGE TOWN- Kenyataan dua pemimpin DAP berhubung isu judi berlesen di Kedah dan perobohan Kuil Veeramakaliamman di Perlis mencetuskan persoalan mengenai kebijaksanaan politik parti itu.

Bekas Setiausaha Eksekutif BN Pulau Pinang, Azizi Safar berkata, pemimpin politik perlu lebih berhati-hati ketika menyentuh isu membabitkan agama, kaum dan penguatkuasaan undang-undang bagi mengelakkan pendirian yang diambil menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan secara konsisten tanpa mengira agama, kaum atau kelompok yang terlibat.

“Dalam politik, bukan semua perkara perlu dijadikan bahan untuk menunjukkan keberpihakan kepada sesuatu kelompok. Ada ketika pemimpin perlu melihat sesuatu isu berdasarkan prinsip undang-undang dan sensitiviti masyarakat setempat.

Iklan

“Jika sesuatu isu melibatkan penguatkuasaan undang-undang, pemimpin perlu memastikan pendirian yang diambil tidak menimbulkan persepsi seolah-olah undang-undang hanya ditegakkan terhadap kelompok tertentu,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berhubung isu premis perjudian berlesen di Kedah serta pendirian Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis.

Iklan

Mengenai isu perjudian di Kedah, Ramkarpal menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung lesen premis perjudian dan tidak mencari jalan untuk mengelakkan keputusan berkenaan.

Ramkarpal turut berpendapat perjudian berlesen adalah sah di sisi undang-undang dan Sanusi sepatutnya menerima hakikat berkenaan.

Bagaimanapun, Azizi berkata, walaupun aspek undang-undang persekutuan perlu dihormati berhubung lesen perjudian, pemimpin politik juga wajar mengambil kira realiti sosial serta sensitiviti agama masyarakat setempat.

“Judi memang haram dalam Islam dan Kedah pula mempunyai majoriti penduduk beragama Islam. Jadi, pendekatan politik yang lebih berhati-hati perlu diambil supaya isu undang-undang tidak dianggap sebagai usaha mencabar pendirian agama atau aspirasi masyarakat majoriti.

“Pada masa sama, hak premis yang mempunyai lesen sah di sisi undang-undang juga perlu dihormati. Kedua-dua prinsip ini boleh berjalan serentak tanpa perlu menjadikan isu berkenaan sebagai pertentangan agama,” katanya.

Sebelum ini, Rayer mengkritik tindakan Kerajaan Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman selain mendakwa tindakan itu bersifat rasis dan angkuh serta mempersoalkan kerjasama BN dengan PN.

Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang berkata, sekiranya terdapat ketidakpatuhan dilakukan pihak kuil, pendekatan lebih berhemah sepatutnya diambil bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau turut menegaskan hak rakyat untuk menganuti agama lain selain Islam dijamin Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati semua kerajaan negeri.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Azizi berkata, kebebasan beragama sememangnya perlu dihormati tetapi ia tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kebebasan untuk membina bangunan tanpa mematuhi peraturan.

“Prinsipnya mudah. Rumah ibadat bukan Islam mempunyai hak untuk dilindungi dan dihormati jika ia dibina mengikut peraturan. Begitu juga masjid dan surau.

“Namun jika terdapat isu pemilikan tanah atau pelanggaran peraturan, perkara itu perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang dan pentadbiran bukannya dijadikan pertentangan antara kaum dan agama,” katanya.

Azizi menambah, reaksi daripada akar umbi DAP itu menunjukkan isu berkenaan tidak semestinya mempunyai satu pendirian yang seragam dalam parti tersebut.

“Ini sepatutnya menjadi peringatan bahawa politik memerlukan kebijaksanaan. Tidak semua isu perlu dipolitikkan sehingga menyebabkan masyarakat melihat sesuatu parti mempertahankan pelanggaran undang-undang hanya kerana ia melibatkan komuniti tertentu.

“Jika prinsip kedaulatan undang-undang mahu dijadikan asas politik, ia mesti konsisten dan tidak boleh berubah mengikut siapa yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pemimpin politik yang terlalu keras dalam isu agama dan kaum berpotensi memberi kesan terhadap usaha membina keyakinan pengundi terutama dalam landskap politik Malaysia yang sensitif terhadap isu identiti.

“Politik yang matang ialah apabila pemimpin tahu bila perlu bersuara dan bila perlu membiarkan proses undang-undang berjalan.

“Jika setiap tindakan penguatkuasaan terus dikaitkan dengan perkauman, agama atau ancaman politik, ia hanya akan memperdalam jurang kepercayaan antara masyarakat,” katanya.

Ujar beliau lagi, kebebasan beragama, hak pemilikan tanah dan kedaulatan undang-undang tidak seharusnya dilihat sebagai prinsip yang bercanggah.

“Undang-undang mesti sama rata. Agama mesti dihormati dalam ruangnya.

"Politik pula perlu memastikan kedua-duanya tidak dikorbankan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan politik jangka pendek,” katanya.