Penduduk gempar temui longgokan al-Quran dibakar tepi padang bola

Iklan
Kesan longgokan al-Quran dibakar yang ditemui penduduk di Taman Bandar Senawang. Foto: Ihsan penduduk

SEREMBAN - Penduduk di Taman Bandar Senawang di sini gempar apabila menemui longgokan al-Quran yang dipercayai dibakar di tepi padang bola taman berkenaan pada Sabtu.

Bendahari Surau Al-Insaniah Taman Bandar Senawang, Mohd Syafali Izwan Gamal Nasir berkata, beliau menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 8.40 pagi selepas dimaklumkan oleh jirannya.

Iklan
Iklan

"Ketika itu saya sedang beriadah di taman rekreasi terbabit dan jiran saya pula menghantar anaknya bermain bola di situ.

"Tiba-tiba saya tengok dalam kumpulan WhatsApp taman, dia kongsi gambar al-Quran dibakar tak jauh dari situ dan saya terus bergegas ke sana," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Kesan longgokan al-Quran dibakar yang ditemui penduduk di Taman Bandar Senawang. Foto: Ihsan penduduk

Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya, longgokan al-Quran terbabit dipercayai baru sahaja dibakar kerana masih terdapat kesan jelaga dan sisa helaian serta tulisan yang masih kelihatan.

Iklan

Tambahnya, mereka kemudiannya menghubungi polis yang datang ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Selain itu, beliau turut memaklumkan mengenai kehilangan dua naskhah al-Quran bersaiz besar yang lazimnya digunakan oleh imam dari surau berkenaan beberapa hari lalu.

"Kami perasan al-Quran itu hilang ketika solat Maghrib Rabu lalu.

"Kita semak kamera litar tertutup (CCTV) dalam kawasan surau dan madrasah di situ, tapi tak nampak pula siapa yang mengambilnya," katanya.

Mengulas sama ada al-Quran yang dibakar itu merupakan naskhah yang hilang dari surau berkenaan, beliau berkata, terdapat persamaan dari segi tulisan pada helaian yang masih berbaki.

Tambahnya, terdapat juga beberapa naskhah al-Quran lain dengan pelbagai saiz yang dipercayai diambil daripada beberapa tempat.

"Jadi saya rasa al-Quran ini diambil daripada beberapa tempat sebelum dibakar di situ.

"Sebabnya saya difahamkan ada sebuah masjid di sini turut kehilangan al-Quran," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah pun menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Ujarnya, satu sampel kesan al-Quran dibakar telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Forensik bagi dianalisa.

"Pelupusan sisa kebakaran al-Quran akan diuruskan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut sehingga siasatan selesai," katanya.