TEMERLOH – Selepas lebih 14 jam bertarung nyawa akibat dipatuk ular tedung selar ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Temerloh meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini awal pagi Ahad.
Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi.
Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Allahyarham pada mulanya dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HoSHAS selepas tidak sedarkan diri susulan kejadian yang berlaku di Dewan Taman Temerloh Jaya, di sini pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota APM dipatuk ular ketika demonstrasi
“Jenazah akan diuruskan dan disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Difahamkan, urusan pengebumian Allahyarham dijangka dilaksanakan kira-kira jam 9 pagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi Sabtu, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada bahagian kuku jari tengah tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular.
Kejadian berlaku ketika APM Daerah Temerloh menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta program.
Selepas dipatuk, Allahyarham sempat keluar dari dewan sebelum mencuci tangannya, namun tiba-tiba pitam dan kemudian dikejarkan ke HoSHAS untuk mendapatkan rawatan.