Politik nilai, membina ekonomi Selangor

Iklan
Selangor mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi — pasaran yang besar, jaringan industri, infrastruktur, universiti, tenaga kerja, akses kepada modal serta kedudukan strategik dalam ekonomi nasional. Gambar kecil: Hilman

DALAM politik, pembangkang sering dinilai berdasarkan sekuat mana mereka menyerang kerajaan. Semakin keras kritikan, semakin lantang suara, semakin dianggap berkesan peranan yang dimainkan.

Namun saya percaya politik yang matang menuntut sesuatu yang lebih besar daripada itu.

Iklan
Iklan

Pembangkang bukan sekadar perlu menunjukkan apa yang salah. Pembangkang mesti mempunyai keupayaan mengenal pasti masalah, memahami puncanya, menawarkan penyelesaian dan akhirnya memaksa kerajaan memperbaiki dasar.

Inilah yang saya maksudkan dengan politik nilai — politik yang bukan sekadar mencipta pertembungan, tetapi mencipta nilai kepada rakyat.

Iklan

Semangat inilah yang saya bawa ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Negeri Selangor, khususnya apabila saya membangkitkan kedudukan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS).

KPS bukan sekadar sebuah syarikat biasa. Sebagai sebuah investment holding company yang mempunyai pelbagai perniagaan dan pelaburan, persoalan mengenai KPS sebenarnya membawa kita kepada satu persoalan yang jauh lebih 'fundamental':

Iklan

Adakah aset-aset milik kerajaan negeri hari ini benar-benar menghasilkan nilai maksimum kepada rakyat Selangor?

Selangor mempunyai kekuatan ekonomi yang besar. Kerajaan negeri juga mempunyai aset, syarikat dan institusi yang telah dibangunkan sejak sekian lama. Tetapi memiliki aset sahaja tidak mencukupi.

Persoalannya ialah bagaimana aset tersebut diurus, bagaimana modal diperuntukkan, berapa besar pulangan yang dihasilkan dan sama ada nilai aset tersebut berkembang selari dengan kekuatan ekonomi Selangor.

Dalam isu KPS, saya membangkitkan kemungkinan bahawa kepelbagaian perniagaan yang terlalu luas boleh menyebabkan pasaran sukar melihat nilai sebenar setiap aset yang dimiliki.

Dalam dunia korporat, keadaan ini boleh membawa kepada apa yang disebut sebagai ‘conglomerate discount’ — apabila nilai keseluruhan sebuah kumpulan dinilai lebih rendah berbanding potensi nilai sebenar aset-asetnya secara berasingan.

Sebab itu persoalan saya bukan sekadar: Adakah KPS untung atau rugi?

Persoalan yang lebih penting ialah:

Adakah struktur KPS hari ini merupakan struktur terbaik untuk memaksimumkan nilai aset milik rakyat Selangor?

KPS perlu dinilai sebagai sebuah syarikat pelaburan

Jika KPS merupakan sebuah syarikat pelaburan, kejayaannya tidak sepatutnya diukur berdasarkan berapa banyak syarikat atau aset yang dimiliki.

Setiap pelaburan perlu melalui disiplin yang lebih tegas.

Adakah pelaburan tersebut meningkatkan nilai KPS? Adakah ia menghasilkan pulangan modal yang baik? Adakah perniagaan itu mempunyai prospek pertumbuhan? Adakah ia meningkatkan valuation KPS di mata pasaran? Dan akhirnya, adakah peningkatan nilai tersebut mampu menghasilkan dividen yang lebih besar kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), MBI, dan seterusnya memberi manfaat kepada kerajaan negeri serta rakyat?

Atas asas itu, saya mencadangkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan satu 'strategic portfolio review' terhadap KPS.

Setiap aset perlu dinilai.

Kita perlu mengenal pasti aset yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, aset yang perlu dikembangkan, aset yang memerlukan rakan strategik, aset yang boleh distruktur semula dan, jika perlu, aset yang tidak lagi sesuai dengan hala tuju strategik KPS.

Matlamatnya bukan untuk menjual aset secara membuta tuli.

Matlamatnya ialah mencipta nilai.

Menariknya, dalam jawapan penggulungan, Menteri Besar tidak menolak asas pemikiran tersebut. Malah beliau menyatakan bahawa cadangan berhubung penilaian semula pelaburan KPS wajar dinilai supaya pelaburan masa hadapan benar-benar memberikan nilai tambah kepada syarikat serta pulangan dividen yang lebih besar kepada MBI.

Ini merupakan satu prinsip yang penting.

Pelaburan kerajaan tidak boleh dinilai berdasarkan pemilikan semata-mata. Ia mesti dinilai berdasarkan penciptaan nilai.

'Unlock' nilai aset Selangor

Saya kemudian membawa persoalan tersebut satu langkah lebih jauh. Sekiranya terlalu banyak perniagaan dengan karakter berbeza diletakkan di bawah satu kumpulan sehingga pasaran sukar memahami nilai sebenarnya, kerajaan perlu berani mempertimbangkan proses 'value unlocking'.

Antara pilihannya ialah unbundling atau penyusunan semula aset-aset tertentu.

Sekali lagi, unbundling tidak semestinya bermaksud menjual aset.

Ia boleh bermaksud memberikan identiti, struktur pengurusan dan strategi pertumbuhan yang lebih jelas kepada sesuatu perniagaan.

Dengan fokus yang lebih khusus, sesebuah aset boleh mempunyai keupayaan mendapatkan modal, membentuk kerjasama strategik dan mencapai valuation yang lebih baik.

Dalam jawapannya, Menteri Besar turut mengakui bahawa strategi memecahkan aset kepada struktur atau pemilikan yang lebih fokus boleh menjadi antara pendekatan yang dipertimbangkan.

Lebih menarik, beliau sendiri mengimbas bahawa antara teguran awal terhadap KPS ketika beliau mula melihat portfolio MBI ialah syarikat tersebut kelihatan tidak mempunyai fokus yang cukup jelas.

Pelaburannya merentasi terlalu banyak industri dan perniagaan sehingga identitinya sebagai sebuah investment company menjadi kurang jelas kepada pasaran.

Pengakuan ini penting kerana ia menunjukkan persoalan yang saya bangkitkan bukan sekadar kritikan politik.

Ia merupakan persoalan sebenar tentang portfolio 'architecture' dan bagaimana pasaran memberikan nilai kepada aset milik kerajaan negeri.

Daripada 'diversified holding company' kepada 'disciplined investment platform'

Pada pandangan saya, transformasi yang perlu berlaku adalah lebih besar. KPS perlu bergerak daripada sebuah 'diversified holding company' kepada sebuah 'disciplined investment platform'.

Perbezaannya besar.

Sebuah syarikat pegangan boleh memiliki pelbagai aset. Tetapi sebuah 'investment platform' yang berdisiplin sentiasa bertanya: Di manakah modal patut diletakkan untuk menghasilkan pulangan terbaik?

Ia mempunyai strategi pelaburan yang jelas. Ia memahami risiko. Ia mempunyai sasaran pulangan. Ia tahu bila perlu membina sesuatu aset, bila perlu mencari rakan strategik, bila perlu melakukan monetisasi dan bila modal perlu dipindahkan kepada peluang yang lebih produktif.

Sebab itu saya melihat secara positif apabila Menteri Besar turut menyentuh keperluan memperkukuhkan 'investment team, project managers' dan 'project development team KPS'.

Modal semata-mata tidak menjadikan sesebuah syarikat pelaburan hebat. Keupayaan membuat keputusan terhadap modal itulah yang membezakannya.

KPS perlu mempunyai bakat terbaik yang mampu mencari peluang, memahami industri, menentukan valuation, menilai risiko, menyusun transaksi dan membangunkan aset sehingga mencapai potensi sebenarnya.

Di mana Selangor patut meletakkan modalnya?

Perbahasan mengenai KPS akhirnya membawa kita kepada persoalan yang lebih besar daripada sebuah syarikat.

Di manakah Selangor patut meletakkan modalnya untuk 10 hingga 20 tahun akan datang?

Menteri Besar sendiri menyentuh beberapa sektor masa depan termasuk semikonduktor, IC design, potensi untuk bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai, life sciences, sektor perubatan serta high-value manufacturing.

Ini adalah perbincangan yang sepatutnya kita lakukan.

Selangor tidak boleh sekadar berbangga menjadi lokasi pilihan pelaburan.

Kita perlu bertanya apakah kedudukan Selangor dalam rantaian nilai industri tersebut.

Adakah kita sekadar menyediakan tanah dan infrastruktur?

Atau Selangor sendiri mempunyai modal, syarikat, teknologi, bakat dan kepakaran yang membolehkan negeri ini mengambil bahagian dalam penciptaan nilai industri masa depan?

Selangor mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi — pasaran yang besar, jaringan industri, infrastruktur, universiti, tenaga kerja, akses kepada modal serta kedudukan strategik dalam ekonomi nasional.

Persoalannya ialah bagaimana semua kelebihan ini diterjemahkan menjadi kekayaan jangka panjang untuk negeri dan rakyatnya.

Di sinilah syarikat milik kerajaan negeri mempunyai peranan strategik.

Ia tidak sepatutnya sekadar menjadi pemilik aset lama atau penerima dividen. Ia perlu menjadi instrumen pembangunan ekonomi yang mampu mengambil kedudukan dalam industri masa depan.

Perbahasan mengenai KPS sebenarnya membawa kepada satu prinsip ekonomi yang lebih besar — 'capital allocation'.

Setiap ringgit yang dimiliki kerajaan mempunyai 'opportunity cost'.

Modal yang kekal dalam aset dengan pulangan rendah bermaksud modal tersebut tidak dapat digunakan dalam sektor dengan produktiviti dan potensi pertumbuhan lebih tinggi.

Sebab itu kerajaan negeri juga perlu mempunyai disiplin modal.

Aset kerajaan bukan sesuatu yang perlu dikekalkan semata-mata kerana kerajaan telah memilikinya selama puluhan tahun.

Pada masa yang sama, aset strategik juga tidak boleh dilepaskan hanya untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek.

Setiap keputusan perlu kembali kepada satu ukuran:

Apakah struktur pemilikan dan penggunaan modal yang menghasilkan nilai ekonomi serta manfaat awam paling besar kepada rakyat Selangor?

Inilah disiplin yang perlu menjadi asas kepada pengurusan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri.

Politik nilai

Di sinilah saya melihat satu pelajaran lebih besar daripada perbahasan tersebut.

Politik tidak semestinya menjadi pertandingan siapa paling kuat menyerang.

Sudah tentu pembangkang mesti tegas. Kita wajib mendedahkan kelemahan, mempersoalkan keputusan kerajaan dan mempertahankan kepentingan rakyat.

Tetapi ketegasan tidak bermaksud kita berhenti pada kritikan.

Pembangkang yang berkesan mesti mampu membawa idea yang cukup kuat sehingga kerajaan sendiri perlu mempertimbangkannya.

Sebab itu saya tidak berminat sekadar bertanya:

“Mengapa KPS gagal?”

Saya lebih berminat bertanya:

“Bagaimana kita boleh menjadikan KPS lebih bernilai?”

Daripada persoalan itu lahirlah perbahasan mengenai 'strategic portfolio review, value unlocking, unbundling, capital allocation dan investment discipline'.

Daripada jawapan Menteri Besar pula, beberapa premis utama tersebut ternyata diterima secara prinsip, walaupun bentuk transaksi, sasaran kewangan dan roadmap pelaksanaannya masih perlu diperincikan.

Bagi saya, itulah politik yang sepatutnya kita bina.

Politik nilai bukan politik tanpa perbezaan.

Kita boleh berbeza pandangan dengan kerajaan. Kita boleh mengkritik dengan keras apabila diperlukan. Kita boleh menolak dasar yang kita percaya salah.

Tetapi pada akhirnya, politik mesti menghasilkan sesuatu.

Sebuah idea yang lebih baik.

Sebuah dasar yang lebih baik.

Sebuah institusi yang lebih baik.

Dan akhirnya, kehidupan rakyat yang lebih baik.

Jika kerajaan mengambil idea pembangkang yang baik dan melaksanakannya, itu bukan kekalahan pembangkang.

Begitu juga jika pembangkang mengakui dasar kerajaan yang membawa manfaat kepada rakyat, itu bukan kelemahan.

Kerana dalam politik yang berteraskan nilai, ukuran akhirnya bukan siapa mendapat kredit.

Ukuran akhirnya ialah siapa mendapat manfaat.

Dan dalam konteks Selangor, jawapannya mestilah rakyat.

Selangor mempunyai aset, modal, bakat dan kekuatan ekonomi untuk menjadi jauh lebih besar daripada kedudukannya hari ini.

Tanggungjawab kita ialah memastikan setiap kelebihan itu diurus dengan keberanian, disiplin dan visi jangka panjang.

Kita bukan sekadar mahu kerajaan yang memiliki banyak aset.

Kita mahu kerajaan yang tahu mencipta nilai daripada asetnya.

Kita bukan sekadar mahu ekonomi Selangor berkembang.

Kita mahu pertumbuhan itu membina kekayaan negeri dan akhirnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Itulah Politik Nilai.

Dan itulah jalan untuk kita bersama-sama membina ekonomi Selangor.

*Hilman Idham ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia