BEIJING - Sebuah robot humanoid buatan China bernama 'Lightning' mencatatkan rekod baharu larian pecut 100 meter (m) dengan masa 9.32 saat dalam satu ujian menjelang Sukan Robot Humanoid Dunia kedua, di sini.
Memetik portal CGTN pada Sabtu, catatan masa itu sekali gus mengatasi rekod dunia milik pelari pecut legenda Jamaica, Usain Bolt iaitu 9.58 saat.
Jurucakap jenama peranti pintar dari China, Honor berkata, robot berkenaan merekodkan kelajuan hanya 14.5 m per saat, membuktikan keupayaannya dalam acara larian berkelajuan tinggi menjelang pertandingan lima hari yang bakal berlangsung di Beijing.
'Lightning' dijadual bertanding dalam acara 100 m, 400 m dan 1,500 m pada kejohanan yang berlangsung dari 22 hingga 26 Ogos.
Acara tersebut bakal menampilkan variasi robot humanoid yang bertanding dalam pelbagai jenis sukan antaranya lompat jauh, angkat berat dan tenis.
Kejohanan itu turut menyaksikan pasukan dari seluruh dunia mempamerkan kemajuan dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI).
Rekod 9.58 saat milik Bolt sewaktu Kejohanan Dunia 2009 di Berlin kekal sebagai rekod dunia manusia rasmi yang diiktiraf oleh World Athletics.
Bagaimanapun, catatan masa robot berkenaan tidak boleh dibandingkan secara langsung sebagai rekod dunia olahraga di bawah peraturan sukan manusia.