Kanak-kanak 11 tahun meninggal dunia selepas ditemukan dalam kolam

Iklan
Mangsa ditemukan lemah di dalam kolam sebelum disahkan meninggal dunia. Foto sumber polis

NILAI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menyertai program tahfiz di Kampung Kapal, Lenggeng, di sini meninggal dunia selepas ditemukan lemah di dalam sebuah kolam di kawasan berhampiran, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 12.28 pagi.

Iklan
Iklan

"Susulan laporan tersebut, operasi pencarian dilaksanakan pihak polis dengan kerjasama pihak berkaitan di sekitar kawasan kejadian.

"Hasil pencarian mendapati mangsa telah ditemui di dalam sebuah kolam air berhampiran lokasi kejadian dalam keadaan lemah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan
Hasil pencarian mendapati mangsa telah ditemui di dalam sebuah kolam air berhampiran lokasi kejadian dalam keadaan lemah. Foto sumber polis

Menurutnya, bantuan pernafasan diberikan kepada mangsa sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lenggeng.

Iklan

"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HTJ dan bedah siasat dijadualkan pada jam 10 pagi ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

"Siasatan masih diteruskan bagi menentukan kronologi serta keadaan sebenar kejadian, termasuk meneliti sama ada terdapat sebarang unsur kecuaian atau faktor lain yang berkaitan," katanya.

Tambah Johari, klasifikasi kes akan ditentukan berdasarkan keseluruhan hasil siasatan dan laporan bedah siasat.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.

"Bagi sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.