Pelancong maut suhu cecah 46 darjah Celsius

Iklan
Seorang lelaki Perancis berusia 68 tahun maut dalam keadaan panas melampau di California. - Gambar hiasan

LOS ANGELES - Seorang lelaki Perancis berusia 68 tahun maut dalam keadaan panas melampau apabila keretanya terkandas di Death Valley, destinasi pelancongan popular di California, menurut pihak berkuasa taman negara itu pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Lelaki itu dan seorang rakannya terkandas di dalam kereta di jalan terpencil dalam taman negara tersebut, kata renjer.

Iklan
Iklan

Mereka kemudian berjalan kaki melintasi dataran garam untuk sampai ke jalan raya yang lebih sibuk pada hari ketika suhu mencecah 46 darjah Celsius.

Lelaki berusia 68 tahun itu berhenti selepas dua kilometer manakala rakannya sampai ke jalan raya dan dibantu seorang pemandu.

Iklan

Renjer taman melancarkan pencarian tetapi terlambat untuk menyelamatkan nyawa lelaki berkenaan.

"Ini peringatan yang menyayat hati tentang betapa cepatnya keadaan di sini boleh bertukar menjadi berbahaya," kata Penguasa Taman Negara Death Valley Mike Reynolds yang turut mengucapkan takziah.

Iklan

"Death Valley ialah tempat yang luar biasa, namun kepanasan, jarak dan kawasannya yang terpencil boleh menjadi berbahaya, tanpa mengira pengalaman.

Kami berterima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dalam pencarian dan ingatan kami bersama orang tersayang mangsa."

Perkhidmatan taman itu memberi amaran kepada pelawat tentang kepanasan musim panas yang melampau di Death Valley dan menggesa mereka supaya berhati-hati, dengan menyatakan telefon bimbit tidak berfungsi di banyak bahagian taman.

Sesetengah jalan hanya sesuai untuk kenderaan lasak.

Pengembara dinasihatkan membawa air secukupnya dan jika kereta mereka rosak, secara amnya adalah lebih selamat untuk mencari perlindungan di tempat yang boleh dilihat pasukan pencari berbanding berjalan kaki di kawasan terbuka.

Death Valley adalah antara tempat paling panas di bumi. Bahagian yang terletak 86 meter di bawah paras laut juga merupakan tempat paling rendah dan paling kering di Amerika Utara.

Menurut ramalan cuaca, suhu di kawasan itu boleh meningkat kepada lebih 47 darjah Celsius hujung minggu ini. - Bernama