KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) mendedahkan secara teknikalnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan lagi anggota gabungan berkenaan walaupun masih lagi ahli dari segi undang-undang.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kedudukan tersebut mengambil kira tindakan Bersatu yang tidak lagi mahu menggunakan logo PN dan memilih menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya.
"Sebab dia dah tak nak guna PN dan dia guna logo dia sendiri," katanya semasa sidang akhbar pada malam Sabtu.
Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah isu semasa peringkat Parlimen Kota Bharu di Jalan Seri Cemerlang di sini.
Menurut Takiyuddin, PN ketika ini masih belum membuat keputusan mengenai tindakan terhadap Bersatu, namun pertimbangan berhubung perkara itu sentiasa dibuat bagi menentukan pendekatan paling berkesan.
"Itu sedang kita fikirkan. Kita belum putuskan lagi. Pertimbangan itu sentiasa ada. Pertimbangan kita tengok cara yang paling efektif," katanya.
Ujar beliau, perlembagaan PN mempunyai peruntukan tindakan disiplin terhadap parti anggota, termasuk kemungkinan menggantung, memecat atau mengeluarkan sesebuah parti daripada gabungan.
"Dalam PN pun ada, macam parti lain. Dia ada tindakan disiplin.
"Kalau parti individu macam UMNO, Pas, tindakan disiplin kepada ahli. Kalau gabungan ini tindakan disiplin terhadap ahli gabungan, parti gabungan," katanya.
Jelas Takiyuddin, PN menjangkakan tindakan Bersatu secara berterusan boleh menyulitkan gabungan itu, sedangkan parti berkenaan dianggap sudah tidak mahu bersama PN.
"Sebab itulah Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sebut dari segi politiknya seolah-olah dia (Bersatu) ini nak keluar daripada PN. Kalau tidak, kenapa nak guna logo sendiri," katanya.
Beliau memberitahu, PN sebelum ini masih memberi ruang kepada Bersatu menggunakan logo PN ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun hubungan kerjasama dengan parti itu telah diputuskan.
"Di Johor kita bagi dia guna logo walaupun kita dah putus hubungan kerjasama dengan Bersatu. Di Johor dia bertanding 16 kerusi, kita bagi dia guna logo PN.
"Di Negeri Sembilan pun kalau dia tak guna logo dia, mungkin kita akan bagi dia guna PN," katanya.