Petani maut motosikal terbabas selepas langgar musang

Iklan
Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa selepas kemalangan tersebut. Foto Polis Rompin.

ROMPIN – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) selepas terlanggar seekor musang di Kilometer 23, Jalan Ibam-Rompin di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa, Zaki Abu, 19, yang bekerja sebagai petani disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda RS150R yang ditunggang mangsa dan sebuah Honda CR-V dipandu lelaki berusia 40 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Honda CR-V berkenaan dipandu dari arah Rompin menghala ke Ibam, manakala mangsa menunggang motosikal dari arah Ibam menghala ke Rompin.

Iklan

Lokasi berlaku kemalangan di Kilometer 23, Jalan Ibam-Rompin sehingga penunggang motosikal maut. Foto Polis Rompin

“Apabila sampai di tempat kejadian, Honda CR-V yang dipandu lelaki berkenaan sedang bergerak lurus di laluannya sebelum terlanggar motosikal mangsa yang terbabas ke laluannya selepas melanggar seekor musang.

Iklan

“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Honda CR-V tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

Sharif Shai turut menambah keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus, satu lorong dua hala dengan garisan putus-putus sebagai pembahagi lorong.

“Permukaan jalan rata dan kering serta cuaca baik pada malam kejadian, namun kawasan berkenaan tidak mempunyai lampu jalan,“ katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.