SEPANG - Kerajaan Selangor meneruskan komitmen memperkukuh amalan pengasingan sisa dan kitar semula dalam kalangan masyarakat menerusi pelancaran Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) Walk di Bandar Serenia di sini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, program berkenaan sekali gus melengkapkan pelaksanaan Fasa 1 Program SELKitar, khususnya menerusi inisiatif kutipan bahan kitar semula dari pintu ke pintu di seluruh Selangor.
Menurutnya, kerjasama dengan komuniti adalah antara elemen penting bagi memastikan usaha meningkatkan kadar kitar semula dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
"Pelaksanaan program SELKitar bukan sekadar menyediakan kemudahan kutipan bahan kitar semula tetapi turut memberi penekanan kepada aspek pendidikan, kesedaran dan penglibatan komuniti," katanya ketika majlis pelancaran program pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Mohd Faizal Abdul Raji dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir.
Pelaksanaan SELKitar di Bandar Serenia akan bermula pada September ini menerusi dua pendekatan kutipan iaitu SELKitar bersama Kerajaan Negeri Selangor dan SELKitar bersama Nestlé Malaysia.
KDEBWM selaku agensi pelaksana akan menyelaras kedua-dua pendekatan berkenaan yang melibatkan 2,518 rumah di sembilan kawasan perumahan.
Bagi kutipan bersama kerajaan negeri menggunakan lori hijau, kutipan bermula pada 1 September setiap Selasa, melibatkan Serenia Amalia 1 dan 2, Serenia Amani, Serenia Adiva, Serenia Arina, Serenia Aiora, Serenia Anira dan Serenia Ariya.
Kutipan menerusi kerjasama Nestlé Malaysia itu menggunakan lori merah yang akan bermula pada 4 September setiap Jumaat melibatkan Serenia Aqila dan Serenia Anisa.
Jamaliah berkata, sejak dilaksanakan pada Mei tahun lalu, SELKitar Fasa 1 telah merekodkan jumlah kutipan lebih 6.3 juta kilogram meliputi lebih 380,000 rumah di sembilan daerah dan 12 PBT di seluruh Selangor.
Sementara itu menurut Ramli, KDEBWM bersedia menyokong pelaksanaan fasa seterusnya, namun ia memerlukan perancangan sesuai dengan keperluan operasi sekiranya liputan program diperluaskan.
SELKitar Walk turut melibatkan kerjasama Media Selangor, Sime Darby Property, Nestlé Malaysia, ImpactLution, driveEV dan Universiti Putra Malaysia (UPM), selain pelbagai aktiviti komuniti berkaitan kitar semula serta kelestarian alam sekitar.