Ivonne Baki tekad perkasa peranan PBB

Iklan
Baki dianggap sebagai calon yang berpengalaman luas, mempunyai kemahiran diplomatik dan integriti yang diperlukan untuk menggerakkan PBB. - Foto Agensi

GENEVA - Diplomat Ecuador, Ivonne Baki mencuba nasib dalam persaingan merebut jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau merupakan calon kelapan yang tampil dalam persaingan untuk menggantikan Antonio Guterres dari Portugal apabila tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Disember 2027.

Iklan
Iklan

Baki, 75, dicalonkan oleh Tonga, sebuah negara kepulauan di Pasifik.

Menerusi surat pencalonan, Duta Tonga ke PBB, Viliami Va'inga Tone berkata, organisasi itu kini berada pada 'titik perubahan yang kritikal' dan memerlukan pemimpin yang berpengalaman, berprinsip serta mampu menyatukan negara-negara anggota bagi menghadapi cabaran semasa.

Iklan

Beliau menyifatkan Baki sebagai calon yang berpengalaman luas, mempunyai kemahiran diplomatik dan integriti yang diperlukan untuk menggerakkan PBB serta komuniti antarabangsa dalam usaha memperkukuh kerjasama multilateral.

Pengganti Guterres bakal berdepan cabaran besar untuk memulihkan keyakinan terhadap PBB yang kini berdepan krisis dan kemerosotan pengaruh di peringkat antarabangsa.

Iklan

Pada masa sama, tekanan semakin meningkat supaya organisasi itu melakukan pembaharuan khususnya terhadap birokrasi selain mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi-agensinya.

Beliau turut berikrar untuk membawa perspektif baharu, idea segar dan bakat baharu selain berusaha mengubah tumpuan PBB daripada terlalu mementingkan proses kepada usaha menghasilkan keputusan yang nyata serta boleh diukur.

Baki turut menerbitkan autobiografi bertajuk 'My Destiny...Horrors of War and Aspirations of Peace' yang mengisahkan pengalaman hidup, kerjaya diplomatik dan perjuangannya untuk keamanan. - Foto Agensi

Sebelum ini, Baki memberitahu sebuah stesen radio di Quito bahawa pencalonannya mendapat sokongan Washington.

Beliau juga secara terbuka mengakui mempunyai hubungan persahabatan dengan Presiden Donald Trump dan Presiden ke-42 AS, Bill Clinton.

Ketika undian pertama pada 30 Julai lalu, Rebeca Grynspan dari Costa Rica muncul sebagai calon pilihan utama.

Calon dari Guyana, Carolyn Rodrigues-Birkett pula mendahului undian tidak rasmi kedua.

Bagaimanapun, keputusan itu masih belum muktamad kerana calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya sembilan daripada 15 undi anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Rafael Grossi yang kini mengetuai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) turut menjadi salah seorang calon bersama Michelle Bachelet (Chile), Maria Fernanda Espinosa (Ecuador), Olara Otunnu (Uganda) dan Macky Sall (Senegal).

Karier empat benua

Pendekatan yang diketengahkan beliau banyak berasaskan pengalaman sendiri dalam menjadi orang tengah bagi menamatkan perang yang berlaku di Amerika Selatan.

Pada 1998, Ecuador dan Peru menandatangani Akta Presiden Brasilia, sekali gus menyelesaikan pertikaian sempadan yang telah mencetuskan konflik selama beberapa generasi.

Bagi Baki yang memainkan peranan penting dalam proses tersebut, kejayaan berkenaan boleh menjadi model untuk menangani beberapa krisis paling sukar diselesaikan dunia ketika ini termasuk konflik Iran dan Perang Gaza serta kempen pencerobohan di selatan Lubnan.

Menurutnya, kunci kejayaan itu terletak pada penglibatan sekumpulan kecil negara penjamin. Beliau percaya pendekatan itu masih boleh digunakan pada masa kini.

Antara negara yang dilihatnya berpotensi memainkan peranan tersebut ialah Arab Saudi.

Kerjaya Baki merentasi empat benua namun, proses perdamaian antara Ecuador dan Peru menjadi tunjang utama kepada pencalonannya.

Baki menekankan kepentingan nilai kemanusiaan dalam kepimpinan.

“PBB memerlukan lebih banyak jiwa. Kita tidak boleh menjadi seperti robot. Kita perlu mempunyai perasaan dan mampu meletakkan diri dalam situasi orang lain," ujarnya.

Dalam menghadapi kebuntuan dan krisis kepercayaan, Baki berpendapat, PBB tidak semestinya memerlukan rombakan besar, sebaliknya kepercayaan antara negara perlu diperkukuh bagi mencapai kompromi.

Bagi beliau, pembaharuan institusi semata-mata mungkin tidak cukup untuk memulihkan kewibawaan PBB. - Agensi

INFO:

  • Ivonne Leila Juez Abuchacra de Baki dilahirkan di Guayaquil, Ecuador pada 23 Februari 1951 dan mempunyai latar belakang keluarga berketurunan Lubnan.
  • Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang seni di Sorbonne, Paris dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Awam dan Dasar Awam daripada Harvard Kennedy School.
  • Kerjaya diplomatiknya bermula pada 1981 sebagai konsul kehormat Ecuador di Beirut.
  • Beliau kemudiannya pernah menjadi Duta Ecuador ke Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Qatar selain memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Luar Ecuador dari 2003 hingga 2005.
  • Sejak 2010, beliau turut berkhidmat sebagai Duta Muhibah UNESCO untuk Dialog Tamadun.