NEW DELHI - Ketidakmampuan seorang remaja berusia 18 tahun membayar ansuran bulanan iPhone dipercayai mencetuskan pertikaian keluarga yang berakhir dengan tragedi apabila dia bersama kedua-dua ibu bapanya maut di sebuah bukit di daerah Chhatrapati Sambhajinagar, Maharashtra, India pada Jumaat.
Menurut pihak berkuasa, individu dikenali sebagai Kunal dipercayai membeli telefon pintar itu, namun terpaksa meminta bantuan kewangan daripada keluarganya untuk membayar ansuran bulanan.
Pertikaian mengenai bayaran ansuran terkini dipercayai menjadi semakin tegang sehingga Kunal meninggalkan rumah dan nekad mendaki sebuah bukit berhampiran Tisgaon.
Kunal kemudiannya berdiri di tepi cenuram.
Ibu bapanya bersama penduduk kampung dan anggota polis cuba memujuknya supaya beredar dari lokasi berkenaan selama kira-kira tiga jam.
Menurut laporan NDTV, beberapa individu yang berada di lokasi itu turut menawarkan untuk membelikannya iPhone 15 Pro.
Selepas pujukan gagal, bapanya, Murlidhar Chandgude bertindak memanjat bukit tersebut dan cuba menarik Kunal menjauhi cenuram tersebut.
Namun, kedua-duanya hilang keseimbangan sebelum terjatuh ke dalam gaung di bawah.
Ibunya, Sangeeta yang terkejut menyaksikan kejadian itu turut meluru ke arah suami dan anaknya sebelum terjatuh dari bukit berkenaan.
Ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat ketiga-tiga beranak itu telah dihantar untuk bedah siasat. Kes telah didaftarkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Kejadian itu turut menarik perhatian penduduk setempat dan pelancong yang merakam kejadian berkenaan dan kini tular di media sosial.
Bagaimanapun, masih belum diketahui mengapa jaring keselamatan tidak dapat dipasang meskipun anggota polis dan bomba berada di lokasi kejadian. - Agensi