KOTA BHARU - Setiausaha Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan beliau disiasat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selama kira-kira empat jam pada Jumaat susulan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, aduan itu berkaitan dakwaan Bersatu tidak dipanggil untuk berbincang mengenai pembahagian calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, perkara itu dijelaskan kepada pegawai penyiasat RoS termasuk alasan PN tidak memanggil parti terbabit dalam mesyuarat rundingan calon.
"Saya jelaskan bahawa keputusan PN tidak memanggil mereka dibuat selepas presidennya mengumumkan pada 15 Julai bahawa parti itu mahu menggunakan logo sendiri iaitu Bunga Raya dan tidak mahu menggunakan logo PN dalam PRN Negeri Sembilan.
"Jadi, PN tidak panggil mereka untuk mesyuarat perundingan pada 16 Julai," katanya semasa menyampaikan ceramah isu semasa peringkat Parlimen Kota Bharu di Jalan Seri Cemerlang di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
RoS memaklumkan aduan berkenaan yang diterima pada 11 Ogos lalu turut menyentuh isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
Menurut jabatan itu, penelitian terhadap aduan berkenaan dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi jabatan.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, beliau turut menjelaskan kepada RoS mengenai beberapa isu lain termasuk tindakan Bersatu yang didakwa memburukkan Pas serta parti sekutu lain ketika kempen PRN Johor.
Katanya, perkara itu berlaku walaupun parti berkenaan ketika itu menggunakan logo PN yang sama.