SANDAKAN - Seorang pekerja kontraktor maut terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Jai, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.53 malam.
Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh sembilan kilometer dari BBP Sandakan.
"Bilik kawalan BBP Sandakan menerima panggilan kecemasan bagi mendapatkan bantuan khas membabitkan seorang mangsa yang terkena renjatan elektrik.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati seorang mangsa dipercayai pekerja kontraktor terkena renjatan elektrik ketika kerja pemasangan tiang elektrik sedang dijalankan.
"Mangsa didapati masih berada di atas tiang elektrik ketika pasukan bomba tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan.
Jimmy berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat bagi menurunkan mangsa menggunakan peralatan khas selepas bekalan elektrik diputuskan oleh Sabah Electricity.
Katanya, tindakan itu dilakukan bagi memastikan operasi berkenaan dapat dijalankan dalam keadaan selamat tanpa sebarang risiko kepada anggota penyelamat.
"Mangsa berjaya diturunkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.41 malam selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi risiko di lokasi kejadian," katanya.